Ribuan Mangsa Banjir Kesal Cara MAIK Agih Borang Bantuan Banjir

Ribuan mangsa banjir di seluruh Kelantan membanjiri pekarangan pejabat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk mendapatkan borang bantuan wang zakat.

 

Ada antara mereka datang ke pejabat itu seawal jam 6 pagi lagi semata-mata untuk mengisi borang berkenaan, tetapi gagal kerana berlaku perebutan dan asak mengasak antara satu sama lain sehingga bertukar menjadi kecoh.

 

Paling menyedihkan ada penduduk datang sejauh Gua Musang dan Kuala Krai kerana dimaklumkan MAIK akan memberi bantuan wang zakat bagi yang kehilangan rumah dan kerosakan harta benda akibat banjir baru-baru ini.

 

Namun, ramai yang hampa dan kecewa setelah dimaklumkan pada jam 4 petang tadi bahawa borang telah habis dan mereka diminta supaya pulang.

banjirmaik1

 

Beberapa mangsa banjir yang ditemui menyifatkan, MAIK gagal mengurus atau mengendalikan pengagihan borang itu sehingga berlaku asakan dan kekecohan kerana masing-masing mahu mendapatkan borang berkenaan.

 

Seorang mangsa banjir yang mahu dikenali sebagai Mohd Zahari, 57, berkata, beliau dari Bandar Lama Gua Musang bertlak dari rumahnya ke pejabat MAIK di Kota Bharu kira-kira jam 3 awal pagi tadi dan sampai di situ sekitar 5.30 pagi.

 

Tetapi, sebaik pintu pejabat dibuka jam 8 pagi, sudah ribuan orang ramai berkumpul dan menyerbu masuk ke pejabat itu untuk mendapatkan borang.

 

“Saya tersepit di celah-celah ribuan orang ramai yang berlari-lari menuju ke pejabat. Malangnya bila tiba giliran saya, borang sudah habis.

 

“Ramai juga yang tidak dapat borang bantuan zakat, malah ada yang bawa anak kecil datang dari jauh untuk mengisi borang ini dengan harapan dapat bantuan daripada MAIK,” katanya.

 

Seorang lagi mangsa banjir, Hasnah Abdul Rahman, 46, berkata, MAIK sepatutnya mengagihkan borang itu mengikut jajahan dan jumlah penduduk yang disenaraikan sebagai mangsa banjir.

 

Tetapi, katanya, orang ramai pula diminta datang ke pejabat MAIK di Kota Bharu sehingga beliau bersama keluarga dan jirannya sampai lebih awal di pejabat itu pagi tadi.

 

“Saya sampai, orang ramai sudah memenuhi setiap ruang dan sudut pejabat agama ini. Ada yang bawa anak, ada yang bawa ibu bapa yang sudah tua, tetapi mereka juga tidak dapat borang itu.

 

“Saya rayulah kepada pihak MAIK, hantarlah borang-borang ini ke setiap jajahan supaya yang tinggal jauh sepertinya dapat mengambil borang itu di pejabat agama jajahan,” katanya yang terpaksa balik dengan tangan kosong.

 

MAIK memperuntukan kira-kira RM32 juta wang kutipan zakat sepanjang tahun lalu untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Kelantan.

 

Namun, kaedah pengagihannya dikatakan tidak tersusun menyebabkan orang ramai berasak-asak dan berebut-rebut sesama sendiri di pekarangan pejabat itu untuk mendapatkan borang bantuan.

 

Seorang lagi mangsa banjir, Yuseri Yusoff berkata, mereka yang datang ke pejabat itu diarah pulang oleh pegawai MAIK dengan alasan borang untuk mohon bantuan banjir sudah habis.

 

“Selepas pengumuman itu, kaunter terus ditutup dan pegawai bertugas tidak ada lagi di kaunter itu.

 

“Saya kesian dengan mangsa banjir yang datang dengan anak kecil mengharapkan bantuan beratur di tengah panas. Banjir di Kelantan ini melibatkan ratusan ribu mangsa bukannya 15 orang,” katanya marah.

 

Beliau berkata, MAIK mempunyai imam, bilal dan jawatankuasa masjid yang dilantik setiap mukim di seluruh Kelantan, kenapa mereka ini tidak diberi tanggungjawab untuk mengagihkan borang itu. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.