PM Umum Penstrukturan Semula Bajet 2015, Selasa Ini

Ipoh -Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan keputusan Penstrukturan semula Bajet 2015 pada Selasa ini.

 

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata penstrukturan semula itu adalah satu langkah menangani kesan kejatuhan harga minyak dunia dan penyusutan nilai ringgit berbanding dolar Amerika.

 

Menurut Ahmad Husni, kerajaan telah menjalankan kajian mengenai keputusan itu dan ia diumumkan Najib, Selasa ini.

 

“Kita tahu akibat daripada kejatuhan harga minyak dan dari segi nilai ringgit kita berbanding dolar Amerika telah berkurangan malah turut memberi impak kepada ekonomi.

 

“Kementerian telah membuat kajian terperinci mengenai perkara ini dan akan diumumkan oleh Najib minggu depan (Selasa) kerana kedua-dua faktor ini ada impak positif dan negatif,” katanya pada sidang media, semalam.

 

Beliau sebelum itu, merasmikan pintu gerbang Kampung Sungai Rokam serta penyampaian van jenazah kepada penduduk kampung berkenaan di Masjid Jamek Kampung Sungai Rokam di sini.

 

Najib sebelum ini dilaporkan berkata, Bajet 2015 mungkin distrukturkan semula, selepas negara menghadapi beberapa isu besar termasuk kejatuhan harga minyak dunia dan banjir besar yang melanda negeri Pantai Timur.

 

“Saya akan keluarkan kenyataan (perkara ini) minggu depan,” katanya.

 

Ahmad Husni menambah, dalam konteks menghadapi cabaran pada masa depan, semua pihak perlu menggembleng tenaga dan usaha dan tidak bergantung kepada kerajaan semata-mata.

 

“Dalam menghadapi cabaran, matlamat kita pada 2020 untuk menjadikan negara ekonomi berpendapatan tinggi, ini asas kepada seluruh kerajaan, swasta, rakyat, NGO (badan bukan kerajaan). Cabaran perlu dilihat dari segi positif bukan cara negatif.

 

“Cuba kita lihat kembali sewaktu banjir di beberapa negeri, ia melibatkan penglibatan badan-badan NGO dalam membantu kerajaan menghadapi cabaran pada masa itu.

 

“Kita tahu beberapa kelompok individu terputus hubungan dengan pihak berkuasa, jadi pelbagai bantuan disalurkan NGO seperti menyediakan bot dan sebagainya malah ada yang menghantar bantuan makan kepada mangsa,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.