PasMa Punca Hubungan Pas-DAP Makin Keruh

KUALA LUMPUR 18 Jan. – Hubungan keruh antara DAP dengan Pas menjadi ketara ekoran layanan istimewa yang diberikan DAP kepada Persatuan Ummah Sejahtera (PasMa), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan oleh kumpulan dalam Pas yang pro-PKR dan DAP.

 

Bekas Setiausaha Pas Selangor, Norman Toha berkata, DAP berkemungkinan tidak memerlukan Pas lagi dalam pakatan pembangkang kerana boleh mempergunakan PasMa untuk meraih sokongan Melayu dan Islam.

 

“Pemimpin tertinggi DAP iaitu Setiausaha Agungnya yang belum disahkan jawatan, Lim Guan Eng telah memberi layanan istimewa dengan menerima kunjungan PasMa tetapi untuk apa tujuan kunju­ngan itu?

 

“Sebelum ini, golongan ulama Pas sudah meminta ahli-ahli Pas untuk tidak terlibat dalam PasMa, kalau DAP benar-benar hormat Pas, DAP tidak akan terima kunjungan PasMa itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

 

Krisis antara DAP dengan Pas semakin hangat apabila Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali mengecam DAP secara terbuka kerana membuat keputusan untuk melaksanakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang walaupun tidak dipersetujui sekutunya.

 

Baru-baru ini, Presiden PasMa, Datuk Ir. Phahrolrazi Zawawi mengadakan pertemuan dengan Guan Eng.

 

Menurut Norman, beliau yakin kritikan daripada Mustafa itu mewakili pandangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pemimpin-pemimpin kanan dan golongan ulama Pas.

 

“DAP juga berkemungkinan telah menjangka hubu­ngan antara Pas dengan DAP tidak kekal lama, oleh itu DAP cepat-cepat mengguna peluang untuk bersama PasMa bagi melunakkan imej parti itu yang cauvinis Cina dan meraih sokongan Melayu serta Islam,” katanya.

 

Jelas beliau, hubungan kedua-dua parti berkenaan dalam pakatan pembangkang dijangka terus bergolak sehingga Muktamar Pas pada pertengahan tahun ini yang menentukan sama ada Pas benar-benar dikuasai golongan ulama atau golo-ngan Anwarinas.

 

Dalam pada itu, bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, pergolakan dalam kerjasama antara Pas dengan DAP bukan perkara baharu kerana hubungan itu umpama retak menanti belah.

 

“Saya ingin mengingatkan Pas untuk menjaga maruahnya dalam perjuangan menegakkan Islam, ketepikan agenda politik, kerana DAP hanya hendak mempergunakan Pas demi kepentingan politiknya,” katanya.

 

Beliau memuji ketegasan Pas dalam mengkritik DAP namun menegaskan parti itu perlu membuat langkah lebih berani iaitu keluar daripada pakatan pembangkang. – Utusan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.