Pasar Raya Tarik Balik Epal 
Gala Dan Granny Smith AS

KUALA LUMPUR 18 Jan. – Beberapa buah pasar raya di ibu negara tidak lagi menjual buah epal Gala dan Granny Smith dari Amerika Syarikat (AS) yang disyaki tercemar dengan bakteria Listeriosis sebaliknya menggantikan dengan epal jenis sama yang diimport dari negara lain.

 

Seorang pekerja pasar raya yang enggan dikenali berkata, pihak pengurusan sudah sedia maklum mengenai penarikan semula penjualan dua jenis epal tersebut dan mengambil tindakan menggantikannya dengan epal yang diimport dari Perancis.

 

“Ramai pelanggan sudah sedia maklum mengenai perkara ini dan mereka akan bertanya kepada pekerja terlebih dahulu sama ada epal yang dijual selamat untuk dimakan atau tidak sebelum membelinya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

 

Semalam, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) melakukan sekatan kepada epal Gala dan Granny Smith dari AS selepas kementeriannya menerima notis berkaitan pencemaran itu daripada Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) AS.

 

Isu berkaitan larangan pengambilan epal berkenaan mula tersebar di laman sosial sejak beberapa hari lalu, antaranya portal berita yang melaporkan bahawa penularan bakteria itu dikesan di sebuah pusat pemprosesan epal Bidart Bros dekat Bakersfield, California, melibatkan epal diproses semula bersalut karamel.

 

Sementara itu, seorang pelanggan pasar raya, K. Saravanen, 39, berkata, dia sudah bertukar dengan membeli epal yang diimport dari Australia dan Perancis sahaja.

 

“Selepas berita mengenai buah epal yang tercemar dengan bakteria Listeriosis, saya sudah tidak membeli epal yang diimport dari AS,” katanya.

 

Dalam pada itu, seorang lagi pelanggan, Alex Yong, 42, berkata para pengguna perlu menyemak terlebih dahulu dari mana kedua-dua jenis epal tersebut diimport sebelum membelinya.

 

“Sebagai penggemar buah epal, saya akan tetap membeli buah tersebut namun saya akan pastikan dahulu buah itu datang dari negara mana.

 

“Selain itu, aspek kebersihan seperti membasuh atau mengupas kulit sebelum memakan buah epal harus diberi perhatian bagi mengelakkan jangkitan bakteria itu.” katanya. – Utusan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.