Negeri Sembilan Peringkat Akhir Warta Penempatan Orang Asli

KUALA KLAWANG 19 Jan. – Kerajaan Negeri Sembilan kini dalam peringkat akhir untuk mewartakan penempatan kawasan perkampungan asal Orang Asli di negeri itu.

 

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan kini sudah hampir menyelesaikan kerja-kerja mengukur kawasan perkampungan asal Orang Asli di seluruh negeri.

 

“Mereka ini duduk di hutan simpan, masa depan mereka kadang-kadang kita tidak boleh nak cakap terjamin sangat kerana jika sesuatu dasar kerajaan nanti berubah seperti nak buka hutan itu atau nak menuai hasil hutan itu, Orang Asli akan terjejas.

 

“Kawasan kampung mereka itu sekurang-kurangnya diwartakan dan dirizabkan dengan secukupnya supaya masa depan mereka tidak boleh diganggu-gugat,” katanya kepada pemberita selepas Program Penyerahan Suratan Hak Milik dan Pemberian Projek Felcra Kerangai Penagoh, di sini hari ini.

 

Turut hadir, Pengerusi Felcra Datuk Bung Moktar Radin.

 

Mohamad berkata, beliau bercadang untuk membawa usul berkaitan pewartaan kawasan perkampungan asal Orang Asli ini ke Dewan Undangan Negeri (DUN).

 

“Boleh jadi esok saya bawa usul ke DUN supaya nak buka atau nak diganggu gugat kawasan Orang Asli ini mesti mendapat kelulusan DUN, lagi terjamin dan tidak boleh diusik kawasan mereka,” katanya.

 

Mohamad berkata, di negeri ini terdapat lebih 40 perkampungan asal Orang Asli yang tinggal lebih daripada 20 tahun. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.