Nahas Bas: Polis Kenal Pasti Pemilik Tayar

Polis menolak sebarang unsur sabotaj oleh pihak tertentu dalam insiden yang membabitkan lapan maut di Kilometer 326.3 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Tapah pada Khamis lepas.

 

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, pihaknya juga telah mengenalpasti sebiji tayar yang menjadi punca kemalangan maut itu adalah dari sebuah lori yang tertanggal.

 

“Kita telah kenalpasti tayar itu adalah sebuah tayar ganti yang terdapat pada sebuah lori yang dimiliki sebuah syarikat beralamat di Kedah,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

 

Beliau berkata, siasatan pihaknya mendapati, tayar berkenaan telah terjatuh di atas jalan dan tidak disedari oleh pemandunya ketika melalui lebuh raya tersebut.

 

Bagaimanapun, beliau berkata polis masih belum mengambil sebarang keterangan daripada pemandu terbabit bagi membantu siasatan.

 

Som Sak menjelaskan, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 ( 1 ) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Dalam kejadian pada jam 1.15 pagi Khamis lalu, lapan penumpang termasuk pemandu sebuah bas persiaran maut selepas kenderaan itu terlanggar sebiji tayar sebelum terbabas dan merempuh sebuah kereta Charade yang berhenti di bahu jalan.

 

Seramai tujuh mangsa rentung selepas terperangkap dalam bas yang terbakar.

 

Kejadian berlaku ketika bas berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Kurau, Parit Buntar menuju ke Genting Highlands membawa 30 penumpang. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.