Mangsa Serangan Bukan Sebab Cinta Ditolak

PUTRAJAYA 18 Jan. – Mangsa pukul oleh seorang suspek lelaki ketika bekerja lebih masa di Kementerian Komunikasi dan Multimedia kelmarin sempat merayu supaya tidak dibunuh dan sanggup menyerahkan segala bara­ngan berharga termasuk wang tunai berjumlah RM350 dalam beg tangannya.

 

Bapa mangsa yang enggan dikenali berkata, bagaimanapun suspek lelaki itu yang bertugas di bangunan sama sebagai juruteknik bukan sahaja tidak mengendahkan rayuan mangsa dan mengambil semua bara­ngan tersebut malah, terus memukulnya dengan senjata keras.

 

Namun, katanya, mangsa yang berumur 30 tahun dan masih bujang itu bernasib baik apabila berjaya melepaskan diri selepas mendengar isyarat sistem pintu yang tidak ditutup rapat sebelum lari menggunakan lif dari pejabatnya di tingkat 24.

 

“Dengan muka yang berlumuran darah akibat dipukul, anak saya sempat melarikan diri dengan menggunakan lif ke tingkat bawah tetapi pada masa sama, suspek terbabit cuba mengejar tetapi gagal menggunakan lif yang sama dan terpaksa turun dengan tangga.

 

“Suspek ini kemudiannya mengejar dengan turun ke tingkat 21 dan cuba menghentikan lif terbabit tetapi gagal, sebelum anak saya melarikan diri ke kafe kementerian di tingkat bawah dan diselamatkan kakitangan di situ,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Hospital Putrajaya di sini hari ini.

 

Jumaat lalu, polis menahan seorang lelaki selepas didakwa mencederakan seorang penjawat awam wanita di kepala dan muka dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam selepas mangsa yang berseorangan dalam pejabatnya meminta bantuan daripada bahagian penyelenggaraan bangunan supaya tidak memadamkan lampu pejabat kerana perlu menyiapkan tugasan.

 

Bapanya berkata, suspek tersebut yang masih tidak ber­puas hati cuba mengejar mangsa sehingga ke tingkat bawah namun, terpaksa berlakon membantu mangsa selepas melihat beberapa orang lelaki berada di kawasan tersebut.

 

Katanya, lakonan lelaki itu gagal kerana tompokan darah dikesan di baju dan cermin matanya.

 

Tambahnya, sebelum kejadian tersebut suspek terbabit berpura-pura memeriksa seluruh pejabat tersebut dengan alasan berlaku litar pintas dan meminta mangsa mengikutinya bagi memastikan tiada pekerja lain di dalamnya.

 

Dalam pada itu, mengikut sumber, suspek lelaki terbabit cuba mencabul mangsa selepas mendapati tiada orang di pejabat tersebut tetapi tindak balas mang-sa yang tidak senang dengan perbuatan tersebut menyebabkannya diserang dan dicederakan.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid berkata, suspek tersebut masih direman dan siasatan sedang dilakukan dari setiap sudut bagi menyiasat motif mangsa diserang.

 

“Siasatan kita mendapati kes ini bukan sebab cinta ditolak dan kita masih menyiasat dengan le­bih lanjut. Ketika kejadian lampu di pejabat itu masih terpasang dan mangsa nampak jelas serta cam wajah suspek.

 

“Kita dapati suspek ini menyerang dengan menggunakan spanar dan kita masih mendapatkan keterangannya bagi memastikan motif sebenar dia mencederakan mangsa,” katanya – Utusan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.