Kesihatan Nik Aziz Menurun, Tidak Mahu Diziarahi

19 JAN: Kesihatan bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menurun selepas banjir baru-baru ini, kata anaknya Nik Mohamad Abduh.

 

Menerusi laman Facebook ayahnya, Nik Abduh memberitahu, ayahnya dalam keadaan uzur biasa.

 

“Dalam sebulan akhir ini, ayahanda telah tidak turun solat di masjid kerana keletihan. Di rumah dengan aktiviti biasa, berjalan, membaca dan rehat. Cuma selepas banjir baru-baru ini, kesihatannya menurun sedikit. Apa pun baik Insya Allah,” katanya.

 

Beliau yang juga ahli parlimen Pasir Mas memohon maaf kerana atas kehendak ayahnya, beliau memilih tidak diziarahi untuk tempoh ini.

 

“Mahu rehat secukupnya. Mari bersama memohon doa semoga Allah mengurniakan kesihatan yang baik buat ayahanda dan seluruh umat Islam yang dalam keuzuran kesihatan mereka,” katanya.

Nik Aziz - Gambar Lama

 Nota: Ini adalah gambar lama tetapi dijadikan viral di laman sosial sejak awal pagi tadi.

 

 

Nik Abduh dipercayai mengeluarkan kenyataan itu ekoran penyebaran gambar di laman sosial menunjukkan Mursyidul Am PAS itu terbaring di atas katil.

 

Bagaimanapun, gambar Nik Aziz yang didakwa terbaring kerana uzur itu adalah gambar lama.

 

Perkara itu disahkan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

 

“Saya tidak pasti itu gambar bila, tapi saya tahu itu gambar lama. Dia sakit (tua) tetapi tidaklah sentiasa terbaring seperti di dalam gambar tersebut,” katanya.

 

Nik Abdul Aziz, 84, masih Adun Cempaka dan menjadi Menteri Besar Kelantan selama 23 tahun sehingga Mei 2013. – BNBBC

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.