Kejahilan Hollande Dan Kebiadaban Charlie Hebdo

Presiden Perancis, Francois Hollande seharusnya bersedia untuk menerima apa juga kemungkinan berikutan sikap terbukanya yang menganggap kebiadaban akhbar mingguan negara itu, Charlie Hebdo yang terus menghina Nabi Muhammad SAW sebagai kebebasan bersuara.

 

Walaupun mengetahui perbuatan biadab dan tidak bertamadun Charlie Hebdo telah mencetuskan kemarahan umat Islam sehingga menjadi alasan serangan berdarah ke atas pejabat akhbar tersebut baru-baru ini, namun Hollande tetap mahu mempertahankan sikap provokatif akhbar itu.

 

Alasan kononnya pendirian itu atas alasan tidak mahu tunduk kepada keganasan dan Paris mempunyai prinsip dan harga diri dalam menyatakan kebebasan bersuara hanyalah hujah dangkal yang menunjukkan kejumudan dan kejahilan Hollande untuk menangani isu tersebut.

 

Keganasan tidak akan berlaku jika ia tidak dipacu oleh perbuatan provokasi oleh mana-mana pihak. Begitulah juga dalam kes Charlie Hebdo. Akhbar itu tidak akan dimusuhi oleh umat Islam jika barisan pengarangnya tidak menjadikan isu agama sebagai modal untuk meraih populariti dan melariskan jualan.

 

Memperlekehkan agama lain atas nama kebebasan bersuara hanya dilakukan oleh kelompok yang terlalu jahil untuk memahami erti kebebasan sebenar. Oleh itu Hollande perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakan beliau mempertahankan kebodohan Charlie Hebdo.

 

Umat Islam sudah membuat bantahan dan di sesetengah negara sudah ada tindak balas sehingga ada nyawa yang terkorban apabila kelab malam dibakar. Itulah harga yang perlu dibayar apabila kemarahan sudah lagi tidak dapat dikawal.

 

Walaupun keganasan bukanlah penyelesaian tetapi itu sahaja jalan pintas yang dilihat oleh sesetengah kelompok umat Islam bagi mengajar kebiadaban Charlie Hebdo dan pemerintah Perancis.

 

Jika Charlie Hebdo masih lagi berbangga kerana mampu mencetuskan kemarahan umat Islam dengan menghina Nabi Muhammad SAW maka mereka juga perlu bersedia menghadapi apa juga tindak balas daripada kelompok-kelompok yang mahu membalas dendam.

 

Bagaimanapun dalam menghadapi situasi ini, umat Islam tidak harus terjerumus dengan kejahilan yang dipamerkan oleh Hollande mahupun Charlie Hebdo. Mereka bertindak demikian kerana tahu itu sahaja caranya untuk mewujudkan kebencian masyarakat dunia kepada umat Islam.

 

Apabila keganasan tercetus akibat perbuatan biadab Charlie Hebdo, Islam akan dipersalahkan. Agama Islam dianggap agama ekstrem dan melahirkan kelompok ekstremis. Inilah matlamat mereka sebenarnya.

 

Masyarakat Barat semakin bimbang dengan perkembangan Islam. Mereka tidak ada cara lain untuk memburuk-burukkan Islam selain melakukan tindakan provokasi yang boleh mencetuskan kemarahan umat Islam.

 

Apabila usaha itu berjaya, mereka akan mengambil kesempatan mengecam Islam dan umatnya habis-habisan. Dalam masa yang sama, di seluruh dunia khususnya di negara-negara barat, umat Islam tidak lagi dialu-alukan. Pelbagai persepsi buruk diwujudkan supaya penganut agama lain membenci Islam.

 

Oleh itu apapun tindakan provokasi yang dilakukan oleh rejim-rejim barat termasuklah Hollande dan Charlie Hebdo, umat Islam perlu membantahnya dengan cara berhemah.

 

Namun dalam masa yang sama jika benar Hollande mahu menunjukkan semangat solidariti kepada Charlie Hebdo, beliau juga perlu memahami umat Islam juga mempunyai semangat solidariti, prinsip dan harga diri.

 

Bagaimanapun tafsiran solidariti, prinsip dan harga diri itu perlu melihat umat Islam tersebut daripada puak mana. Jika mereka bukan daripada kumpulan militan, maka pendekatan pastilah bukan melalui cara keganasan tetapi jika daripada kumpulan militan semua orang tahu bagaimana mereka menunjukkan solidariti mereka atas nama mempertahankan harga diri sebagai umat Islam.

 

Justeru Hollande dan Charlie Hebdo harus bertanggungjawab jika apa-apa berlaku selepas ini kerana sudah pasti akan ada pihak bertindak atas nama ‘kebebasan’, prinsip dan harga diri, apakah bentuk tindakan biarlah masa yang menentukan. Yang pastinya jangan sampai ada nyawa insan tidak berdosa terkorban kerana kejahilan Hollande dan kebiadaban Charlie Hebdo. – Utusan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.