KAFA Tuntut Penjelasan Irfan Bakti

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) menuntut penjelasan jurulatih Felda United FC, Irfan Bakti Abu Salim berhubung dakwaan bekas penyerang Harimau Muda A, Muhammad Ferris Danial Mat Nasir menjadi milik kelab berkenaan bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

 

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau sendiri tidak faham dengan kenyataan pengendali berusia 64 tahun itu sedangkan peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) cukup jelas mana-mana pemain Harimau Muda A yang dilepaskan harus kembali ke pangkuan negeri kelahiran.

 

“Saya tidak faham (kenyataan Irfan Bakti) dan minta dia buat penjelasan atau saya akan merujuk perkara ini kepada Jawatankuasa Status FAM,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

 

Annuar yang terkejut dengan kenyataan terkini pihak Felda United FC memberitahu, beliau akan mengadakan perjumpaan hari ini dengan pemain berusia 22 tahun itu bagi membincangkan perkara tersebut lebih terperinci.

 

Sebuah akhbar tempatan semalam melaporkan dakwaan Irfan Bakti bahawa Muhammad Ferris Danial menjadi milik kelab berkenaan berdasarkan surat pelepasan yang dikeluarkan badan induk bola sepak kebangsaan itu mengenai latihan pusat Sukan Sea bermula 1 Mei kepada kelab berkenaan.

 

Malah, tegas bekas jurulatih Terengganu dan Selangor itu lagi, Muhammad Ferris Danial kini menjalani latihan bersama skuad The Fighters dan pembayaran gaji pemain berkenaan juga dilakukan pasukannya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.