Dr Mahathir Nafi ‘Berpisah’ Dengan PERKASA

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menolak laporan media bahawa beliau tidak lagi sehaluan dan ‘berpisah’ dengan kumpulan pendesak Melayu PERKASA.

 

“Saya harus katakan bahawa tiada asas untuk saya menjarakkan diri daripada PERKASA,” katanya.

 

Katanya, walaupun tidak terikat secara rasmi dengan NGO itu beliau mengakui dalam hal-hal tertentu berkongsi pendapat dengannya.

 

“Terutamanya dalam hal berkaitan reaksi terhadap pandangan ekstrim bukan Melayu,” katanya dalam blog hari ini.

 

The Malaysian Insider semalam melaporkan bahwa Mahathir ‘berpisah’ dengan PERKASA selepas dikatakan tidak selesa dengan haluan NGO itu selepas kontroversi membakar Bible berbahasa Melayu.

 

Memetik sumber, portal itu melaporkan, selepas mempertahankan ancaman itu tahun lepas dan menghadiri hampir semua acara dianjurkannya, Mahathir dan PERKASA membawa haluan masing-masing.

 

PERKASA hari ini turut menyelar media yang melaporkan perkara itu.

 

Presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata, mereka tidak pernah melantik Mahathir sebagai penaung tetapi mempunyai hubungan amat baik.

 

Sementara itu, Mahathir juga berkata, pandangan ekstremis di kalangan bukan Melayu bertambah seperti cendawan selepas hujan.

 

“PERKASA mungkin tidak wujud jika tidak kerana peningkatan pandangan ekstremis di kalangan bukan Melayu, yang mempersoal hak dan keistimewaan Melayu apabila orang Melayu sendiri tidak mempersoal hak bukan Melayu atau menafikan keistimewaan mereka seperti dinyatakan dalam perlembagaan,” katanya. – MKini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.