Charlie Hebdo : Dikhuatiri Cetus Perang Di Negara Punyai Pelbagai Agama – Mufti Pahang

Kuala Lumpur – Provokasi agama yang dilakukan akhbar mingguan satira Perancis, Charlie Hebdo dikhuatiri mencetuskan perang saudara di setiap negara yang mempunyai kepelbagaian agama.

 

 

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata, perang tersebut tidak mustahil berlaku akibat daripada pertembungan sentimen antara penganut-penganut agama.

 

 

Kata beliau, perkara sama pernah berlaku di negara pelbagai agama seperti di Lebanon sehingga menyebabkan penduduk Islam dan Kristian saling bermusuhan akibat sentimen yang hampir sama.

 

 

Beliau menjelaskan: “Wujud pemisahan ideologi atau sentimen antara agama Islam dan Kristian di sesebuah negara sehingga menjurus kepada peperangan saudara yang dahsyat seperti di Lebanon suatu masa dahulu.”

 

 

”Ia telah mengakibatkan kemusnahan yang dasyat, malah kemarahan umat Islam berhubung insiden ini masih membara dan jika berterusan diprovokasi seperti ini kemungkinan akan mencetuskan pertelingkahan lebih besar,” tambahnya, lapor Utusan Malaysia.

 

 

“Berdasarkan pengamatan, orang Barat sebenarnya takut dengan kebangkitan Islam yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat mereka selain bimbang untuk mengekalkan Perancis sebagai negara Kristian tidak akan tercapai,” kata beliau.

 

 

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas tindakan provokasi akhbar mingguan tersebut yang menerbitkan edisi khas empat muka surat memaparkan karikatur Nabi Muhammad SAW minggu ini yang mendapat bantahan umat Islam di 10 buah negara semalam sehingga menyaksikan empat kematian di Niger.

 

 

Selain Niger, ribuan penduduk Islam di Pakistan, Senegal, Mauritinia, Jordan, Algeria, Palestin, Sudan, Lebanon, Rusia dan Syria bangkit membantah penerbitan edisi itu yang jelas menghina Islam.

 

 

Bagaimanapun Dr. Abdul Rahman berkata, umat Islam perlu bersatu dan menonjolkan toleransi serta kelembutan dalam menghadapi provokasi tersebut.

 

 

Sementara itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, peperangan antara agama akan tercetus sekiranya umat Islam terus diasak dengan provokasi seperti itu, justeru umat Islam perlu bersikap kecuali dan tidak mengendahkan provokasi yang cuba menjatuhkan imej Islam di Eropah.

 

 

“Kita tidak perlu bertindak lebih mahu pun mencaci mereka kembali kerana haram sekiranya kita mengutuk agama lain. Biarkan mereka, kalau diturutkan kita juga akan menjadi bodoh, tetapi mereka perlu diingatkan bahawa kesabaran umat Islam juga ada hadnya.

 

 

“Mereka sebenarnya takut dengan Islam yang semakin berkembang pesat di negara barat malah, kebanyakkan daripada penduduk sana berpandangan liberal oleh itu mereka bimbang dengan pergerakan Islam,” katanya. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.