Blogger Milosuam Dipenjara 2 Tahun Akibat Artikel Pencerobohan Sulu

Mahkamah Majistret Kota Kinabalu menjatuhkan hukuman penjara ke atas blogger Milosuam atau nama sebenar Yusuf al-Siddique mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan berikutan satu artikel yang ditulisnya mengenai pencerobohan Sulu pada Jun 2013.

 

Yusuf berdepan hukuman penjara sehingga 2 tahun mengikut pendakwaan itu.

 

Kumpulan peguam Lawyers For Liberty hari ini mengecam hukuman dijatuhkan ke atas anak guamnya itu disifatkan tidak adil kerana pendakwaan dibuat di Kota Kinabalu sementara Yusuf seorang blogger berpangkalan di Kuala Lumpur.

 

“Milosuam didakwa di Kota Kinabalu walaupun beliau sebenarnya berpangkalan di Kuala Lumpur.

 

“Beliau ditahan di Kuala Lumpur pada Mei 2013 dan tidak pernah menjejak kaki ke Kota Kinabalu semasa menulis bahan tersebut. Perbicaraannya di Kota Kinabalu tidak berasas dan tidak perlu,” kata LFL dalam satu kenyataan hari ini.

 

Yusuf dituduh atas dakwaan “menyebabkan rasa takut” kerana menyiarkan artikel di blognya bertajuk “Maklumat sulit: Pendatang asing bakal cetus huru-hara di Sabah”.

 

Krisis pencerobohan Lahad Datu 2013 mengaitkan insiden diplomatik yang berlaku di antara Malaysia dan Filipina sejurus selepas 235 rakyat Filipina yang sebahagiannya bersenjata mendarat di Kampung Tanduo, daerah Lahad Datu, Sabah pada 11 Februari, 2013.

 

Kumpulan tersebut yang menggelar diri mereka sebagai Angkatan Keselamatan Diraja Kesultanan Sulu dan Borneo Utara dihantar oleh Jamalul Kiram III yang merupakan salah seorang daripada pihak yang menuntut takhta Kesultanan Sulu.

 

Kiram berkata matlamat mereka menuntut kembali wilayah mereka di bahagian timur Sabah (bekas Borneo Utara) yang masih tidak dapat diselesaikan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.