Bantahan Penyiaran Kartun Nabi Muhammad Keluaran Charlie Hebdo, 5 Terbunuh

Niamey – Seramai lima orang terbunuh dan beberapa buah gereja dibakar di Niger kelmarin dalam bantahan terbaharu terhadap penyiaran kartun Nabi Muhammad oleh akhbar satira Perancis, Charlie Hebdo.

 

 

Kemarahan berhubung penyiaran kartun tersebut tercetus di beberapa negara Islam manakala di Niger, kekacauan di negara bekas koloni Perancis di Afrika itu memasuki hari kedua kelmarin.

 

 

Dalam tunjuk perasaan tersebut, kira-kira 1,000 belia bersenjatakan batang besi, belantan dan kapal mengamuk di ibu kota Niger, di sini. Mereka membaling batu ke arah pasukan polis yang bertindak balas dengan melepaskan gas pemedih mata.

 

 

Sekurang-kurangnya lapan buah gereja dibakar manakala Kedutaan Perancis di sini menggesa rakyatnya supaya tidak keluar dari kediaman mereka.

 

 

Selain itu, sejumlah bar, hotel dan pelbagai perniagaan milik orang bukan Islam yang memiliki hubungan dengan Perancis turut menjadi sasaran.

 

 

Pada Jumaat lalu, lima orang terbunuh manakala 45 lagi cedera dalam protes serupa di bandar raya kedua di Niger, Zinder.

 

 

Kekacauan yang berlaku di negara itu mendorong Presiden Niger, Mahamadou Issoufou meminta rakyatnya supaya bertenang.

 

 

“Mereka yang menceroboh, merompak rumah ibadat dan mencemarkannya serta membunuh rakan senegara daripada penganut Kristian tidak memahami apa-apa tentang Islam,” katanya.

 

 

Di Perancis, Menteri Luar Laurent Fabius mengutuk penggunaan kekerasan di Niger manakala Presiden Francois Hollande berkata, Perancis komited pada hak bersuara dan tidak akan bertolak ansur mengenainya.

 

 

Dalam pada itu, kira-kira 15,000 orang berhimpun di Ingushetia, Rusia kerana membantah perbuatan biadap Charlie Hebdo.

 

 

Bantahan serupa diadakan di Pakistan pada Jumaat lalu. Di Gaza pula, pusat kebudayaan Perancis dicemari dengan grafiti yang bermaksud: “Pergilah ke neraka, wartawan Perancis.” – Kosmo!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.