Abang Serang Gunakan Parang, Berang Si Adik Tidak Mahu Mengalah

Kuala Terengganu – Hanya kerana perselisihan faham kecil, seorang lelaki naik hantu apabila menyerang adik lelakinya dengan parang dalam kejadian di Kampung Che Long Dusun Melintang di sini, Jumaat lalu.

 

 

Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa berusia 23 tahun bernasib baik apabila sempat mengelak serangan abangnya berusia 30-an sebelum masuk ke dalam rumah bagi menyelamatkan diri.

 

 

Menurut sumber, sebelum kejadian, berlaku pertengkaran mulut antara dua beradik itu selepas berlaku perselisihan faham dan suspek dikatakan naik angin selepas melihat mangsa enggan mengalah.

 

 

Katanya, pergaduhan antara dua beradik itu bertukar serius apabila suspek tiba-tiba bertindak mengambil parang dari dalam rumah sebelum menghayunkan senjata itu ke arah adiknya.

 

 

“Melihat keadaan abangnya yang bagaikan dirasuk hantu itu, mangsa segera melarikan diri dengan masuk ke dalam rumah untuk mencari sesuatu bagi mempertahankan diri.

 

 

“Suspek yang masih tidak berpuas hati dengan tindakan adiknya yang melarikan diri turut mengeluarkan kata-kata kesat sambil mengugut mencederakan mangsa di luar kawasan rumah jika tidak dapat mencederakan mangsa di rumah mereka.

 

 

“Ketika itu, mangsa hanya berdiam diri dalam rumah dan tidak membalas kata-kata abangnya kerana bimbang kejadian menjadi lebih buruk,” katanya.

 

 

Walaupun tidak mengalami kecederaan, mangsa membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga untuk tindakan lanjut.

 

 

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Ab Rafar yang dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut masih dijalankan. – Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.