Tugas Terbaik Moorthy Setakat Ini Berjaya ‘Satukan’ Rakyat

SHAH ALAM – Dr Muhamad Rozaimi Ramle dalam nada sinis menyifatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy berjaya ‘menyatukan’ rakyat, meskipun ramai berpandangan sebaliknya.

Kata Presiden Pertubuhan Kebajikan al-Qayyim Malaysia (IQ Malaysia) itu, kejayaan Moorthy adalah beliau senator yang menyatukan rakyat dalam hal mendesak beliau meletak jawatan sebagai menteri.

“Ramai juga yang mengatakan Menteri Perpaduan gagal melaksanakan tugasnya.

“Saya kurang bersetuju dengan kenyataan ini kerana pada penelitian saya beliau setakat ini berjaya menyatupadukan suara ramai rakyat untuk mendesak beliau meletakkan jawatannya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Sebelum itu, Moorthy menjadi sasaran serangan netizen susulan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, malam tadi.

Sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap perpaduan negara dan integrasi nasional, beliau didakwa gagal memainkan peranan dalam isu rusuhan kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya.

Awal pagi tadi, Waytha Moorthy dalam satu kenyataan berkata, beliau menyifatkan Allahyarham Muhammad Adib sebagai anggota bomba yang berani dan berwibawa dan telah berkhidmat untuk negara dengan penuh dedikasi.

Katanya, pihak polis sedang bekerja keras bagi memastikan pesalah jenayah kejam yang menimpa Allahyarham di bawa ke muka pengadilan dengan pantas.

“Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Muhammad Adib …kami berkongsi kesedihan keluarganya dan negara berkabung bersama keluarga Muhammad Adib dalam masa getir ini,” katanya. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.