Susulan Kematian Muhammad Adib, Dua Ahli Politik Dituntut Letak Jawatan

PETALING JAYA – Ketika orang ramai menyeru semua pihak bertenang selepas kematian seorang anggota bomba yang diserang dalam keganasan di kuil di Subang Jaya, ramai rakyat di medai sosial menyalahkan sekurang-kurangnya 2 orang pemimpin kerajaan atas kejadian yang membawa kepada kematian itu.

Kurang 12 jam selepas Institut Jantung Negara mengumumkan kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, tanda pagar #justice4Adib dimainkan di Twitter 32,000 kali ketika laporan ini ditulis.

Tanda pagar menyasarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy dan Exco Selangor, V Ganabatirau, yang pernah dikecam kerana komen tentang keganasan di kuil itu, tersebar luas.

“Kamulah yang perlu bertanggungjawab atas kejadian ini. Kamu mesti letak jawatan. Itupun kalau kamu ada maruah,” kata satu catatan Twitter terhadap Ganabatirau.

Tanda pagar #lucutWaytha, menyeru menteri itu meletak jawatan, turut tersebar di Twitter, bersama poster “dikehendaki” memaparkan gambarnya dan Ganabatirau.

“Jauhkan diri anda daripada pencetus huru hara,” tulis poster itu.

Kemarahan itu berkaitan dengan reaksi mereka terhadap keganasan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya yang menyusuli pertikaian mengenai tanah antara kumpulan penganut Hindu dan pemaju.

Ganabatirau menyalahkan orang Islam atas serangan di kuil itu pada awal pagi 26 November, sebelum menarik balik kenyataan itu.

Sementara itu, Waytha dikecam apabila dia dan beberapa pemimpin Pakatan Harapan berketurunan India menuduh polis lambat menghalang perusuh.

“Tahap hipokrasi yang memualkan. Kamulah yang bertanggungjawab, Waytha. Kami mahu kamu letak jawatan,” kata Sakinah Alhabshee, menjawab ucapan takziah Waytha hari ini.

Kontroversi kuil ini tercetus apabila satu kumpulan di kuil itu yang disokong aktivis Hindu enggan memindahkan struktur berusia 40 tahun itu, walaupun satu penghakiman persetujuan dicapai antara ahli-ahli jawatankuasa kuil, One City selaku pemaju dan kerajaan Selangor.

Antara yang dipersetujui adalah pemaju, pemilik tanah itu, bersetuju memberikan pampasan wang serta tanah baru yang diwartakan untuk kuil.

Sementara itu, orang ramai bersimpati untuk keluarga Adib, dan ramai yang memujinya sebagai seorang wira.

Menambahkan hiba orang ramai adalah Adib sebenarnya akan berkahwin pada Jumaat. Kad undangan perkahwinan juga dimuatnaik di media sosial sebagai peringatan.

“Saya tak peduli siapa pelakunya dan apa kaumnya. Kamu bunuh seorang manusia yang tidak bersalah. Dengan segala hormat, kami mahukan keadilan. Jangan biarkan pembunuh terlepas. Ibu bapa kehilangan anak, seorang perempuan kehilangan tunang, ahli bomba kehilangan kawan jadi kami mahu #Justice4Adib,” kata Fiqah.

“Adib berada di situ untuk menyelamat. Bukan untuk berlawan. Dia tak bersenjata dan tak berdaya mempertahankan diri. Seorang askar pula mahu berlawan dan bersenjata. Tapi Adib tidak. Satu-satunya sebab mereka serang Adib adalah dia tak bersenjata. Dia mempunyai semua sebab untuk hidup. Ada seorang wanita menunggunya. Jadi, jangan kata dia serah nyawanya,” kata Irfan Mahfuz Yusof. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.