Zahid Umum Peruntukan RM10j Pada NGO Banteras Dadah

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan peruntukan tahunan RM10 juta kepada NGO yang terlibat dalam pencegahan penyalahgunaan dadah bagi membolehkan mereka meneruskan usaha itu.

Namun peruntukan tersebut akan ditarik balik jika NGO berkenaan gagal mencapai sasaran pengurangan 50 peratus penyalahgunaan dadah menjelang Disember 2018, katanya yang juga Menteri Dalam Negeri.

Mesti ada peruntukan daripada AADK (Agensi Anti Dadah Kebangsaan) untuk diberikan kepada seluruh NGO (yang berkaitan).

“Sejumlah RM5 juta akan diberikan kepada PEMADAM (Persatuan Mencegah Dadah Malaysia) dan RM5 juta lagi kepada NGO dan kelab antidadah di sekolah dan universiti.

“Tetapi jika kes penyalahgunaan dadah gagal dikurangkan 50 peratus menjelang Disember tahun depan, saya akan tarik balik peruntukan ini,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Persatuan Mencegah Dadah Kebangsaan (Pemadam) Ke-42 di Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC),semalam.

Turut hadir adalah Yang Dipertua Pemadam yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Pada Oktober lalu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung pernah membangkitkan isu peruntukan kecil kepada AADK.

Naib Presiden GPMS, Rafidah Mohd Ariffin mendakwa statistik terbaru AADK menunjukkan peningkatan jumlah penagih baru setiap tahun sebanyak 22,923, tidak termasuk penagih berulang seramai 7,921 orang.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye dalam rencana di Utusan Malaysia 14 Disember lalu pula berkata, rekod AADK menunjukkan kes penagihan dadah meningkat 14 peratus iaitu 30,844 pada 2016, berbanding 26,668 kes pada 2015.

Ahmad Zahid berkata lagi, kepimpinan negara dan semua pihak terlibat tidak harus malu untuk mengakui kegagalan membanteras gejala itu, sebaliknya menjadikannya sebagai pemangkin untuk meningkatkan usaha.

“Kita harus melakukan muhasabah, kenapa kita gagal. Ini kerana kita letakkan masalah kepada kerajaan dan persatuan, bagaimana pula dengan institusi keluarga dan masyarakat?

“Kita gagal kerana melihat ekor atau belalai gajah (sahaja), tetapi tidak dapat melihat keseluruhan gajah itu,” katanya kepada 1,000 ahli PEMADAM yang hadir.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.