Misi Besar Joe Flizzow

SEBAHAGIAN daripada kita dilihat terlalu defensif terhadap budaya lagu rap dan hip hop yang dibawa oleh artis ini sedangkan ada ketikanya, tidaklah keterlaluan pun.

Kononnya, banyak unsur negatif di dalam bait-bait lirik lagu apatah lagi menerusi budayanya yang jelas bukan tradisi masyarakat timur.

Namun, Joe Flizzow sudah lama membuktikan pada semua bahawa rap dan hip-hop andai berada di landasan yang betul. Malah, unsur negatif tidak patut menjadi isu utama untuk menggambarkan genre muzik itu.

Buktinya, lihat sahaja bagaimana Joe melakar kejayaannya sebagai penyanyi rap tersohor negara sejak kali pertama muncul dengan duo Too Phat bersama Malique.

Walau duo itu sudah lama terkubur, sama ada Joe mahupun Malique, masing-masing sudah memiliki empayar muzik tersendiri dengan kedua-duanya begitu disegani ramai terutama di kalangan pemuzik dan penyanyi pada waktu ini.

Semakin agresif, Joe dalam kerendahan hati juga bersyukur namanya kini sudah terlakar di ruang seni bertaraf antarabangsa.

Pencapaian demi pencapaian diraih, pun ia belum menjanjikan kedudukan yang selesa buat Joe. Paling penting, tiada alasan untuknya terus hanyut dengan pujian yang menggunung.

Mengaku sebenarnya sering cemburu dengan teman-teman seangkatan dalam konteks muzik hip-hop dan rap, Joe mahu mara lebih jauh dalam perjuangan membina empayarnya di mata dunia.

“Saya mempunyai ramai kawan artis antarabangsa dan akui cemburu dengan mereka. Jangan salah faham, cemburu dari aspek gembira dengan kejayaan mereka.

“Contohnya, Jay Park yang kini menjadi artis naungan Roc Nation, di bawah kendalian penyanyi rap terkenal dunia, Jay-Z. Agnes Monica yang kini berkolaborasi dengan Chris Brown, begitu juga dengan Yuna Zarai yang kini melangkah hebat di luar negara.

“Tentulah saya pun mahu menjadi seperti itu. Bukan nak cakap lagu Apa Khabar dan Havoc tidak membawa ke antarabangsa, tapi saya mahu pergi lebih jauh dari itu dan mahu terus mencuba,”katanya.

Berkongsi lanjut, anak jati Kuala Lumpur ini memasang strategi tersendiri dengan buah fikiran di luar kotak dalam misi untuk mara lebih hebat ke luar negara. Antaranya adalah menerusi tumpuan penghasilan karya-karya lagu berbahasa Inggeris.

Bagi Joe, rata-rata artis kita tidak mengambil pendekatan berani menghasilkan lagu berbahasa Inggeris kerana kelemahan dalam penguasaan bahasa asing itu.

“Misalnya di Jepun, mereka tak buat lagu bahasa Inggeris kerana tidak menggunakan bahasa itu. Jay Park hasilkan lagu Inggeris kerana dia seorang yang fasih dalam bahasa itu dan kemudiannya boleh tembusi pasaran luar.

“Ini adalah kelebihan yang saya ada sebagai seorang penulis lirik dan lagu. Bahasa Inggeris adalah bahasa pertama saya gunakan sejak memulakan langkah dalam bidang muzik hip-hop dulu,”katanya.

Joe juga mengaku banyak menjalin hubungan baik dengan DJ radio, promoter dan ramai lagi pemain industri di luar negara terutama di Amerika Syarikat (AS) dalam merealisasikan misinya.
“Ini adalah masanya untuk saya mulakan langkah serius ke luar negara kerana rata-rata produksi radio di sana sudah mula mahukan lagu-lagu saya.

“Buat masa sekarang, saya ‘lepaskan’ tanggungjawab ‘menjaga’ Malaysia untuk muzik hip-hop dan rap ini kepada sahabat saya, Altimet yang kini sangat bermaharajalela dalam industri.

“Jangan salah faham. Sebagai seorang sahabat dalam satu pengurusan yang sama, Kartel. Jadi, tidak wujud soal persaingan antara kami sebaliknya saling membantu dalam kerjaya seni dan saya tahu, Altimet juga disegani dalam genre muzik ini,”katanya.

Kolaborasi

Dalam pada itu, Joe berkongsi kegembiraan jenama Budak Baek yang dihasilkannya untuk rangkaian baju ‘street wear’ kini menjalin kolaborasi yang baik dengan sebuah jenama popular di luar negara, New Era.

Sebagai seorang yang meminati dunia fesyen, tujuannya cuma satu, mahu menghasilkan jenama pakaian yang mampu dimiliki oleh semua penggemar fesyen pada kualiti yang tinggi dan harga berpatutan.

“Sejak tiga bulan lalu, saya banyak belajar mengenai pelbagai aspek bisnes pakaian, dari segi pemilihan material fabrik serta pemasaran dan ternyata ia tidak mudah.

“Tapi saya sukakan ruang cabaran baru ini. Umpama satu penemuan hobi dan cinta baharu,”katanya.

Meski ada yang hairan dengan caranya yang mengendalikan banyak perkara dalam satu masa selain menyanyi, dia punya alasan yang kukuh untuk itu.

“Selagi punya kemampuan, saya tak mahu membuang masa. Tak mahu satu hari nanti saya menyesal kerana tak melakukannya terlebih awal dan mengotakan cita-cita. Bagi saya, kalau ada cita-cita, kita kena berani lakukannya,”katanya, bersemangat.-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.