Aishah Menepati Ramalan, Juara GV4

ISKANDAR PUTERI: Persembahan mantap dan mempersonakan daripada Aishah pada pentas akhir melayakkan beliau dinobatkan sebagai juara Gegar Vaganza musim ke-4 (GV4) di Pinewood Studio, di sini, malam tadi.

Aishah yang menyampaikan lagu All By Myself nyanyian asal Celine Dion sebagai lagu tugasan solo dan Supergirls untuk segmen battle berjaya mengetepikan saingan seperti Liza Hanim, Hazami, Tia Jinbara, Firman dan Lan Solo.

Penyanyi Janji Manismu ini turut memenangi Anugerah Gelora Vida Vaganza.

Kemenangan itu membolehkan beliau membawa pulang wang tunai berjumlah RM100,000, sebidang tanah lot banglo, pakej percutian ke Eropah Timur, barangan kemas, baucar beli-belah bernilai RM6,000 berserta piala.

Naib juara pula disandang oleh Liza Hanim sekali gus melayakkannya untuk menerima hadiah wang tunai RM50,000, sebidang tanah lot banglo, pakej percutian ke Turki, barangan kemas, baucar beli-belah bernilai RM5,000 serta piala.

PENYANYI, Aisyah (tengah) Liza Hanim dan Lan solo bergambar bersama piala dan replika wang tunai selepas Konsert Akhir Gegar Vaganza musim ke-4 di Pinewood Studio, Iskandar Puteri. – Foto Mohd Azren Jamaludin
Lan Solo berpuas hati menduduki tempat ketiga. Sebagai ganjaran, beliau memenangi hadiah wang tunai RM30,000, sebidang tanah lot banglo, pakej percutian ke Boracay di Filipina, barang kemas, baucar beli-belah bernilai RM4,000 dan piala.

Nasib nyata tidak menyebelahi Hazami apabila hanya menduduki tempat keempat sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, pakej percutian ke Jogjakarta, barang kemas, baucar beli-belah bernilai RM3,000 serta piala.

Sementara itu Firman dan Tia Jinbara masing-mading diumum pemenang tempat kelima dan keenam dalam pertandingan itu.

Kesemua persembahan peserta pada peringkat akhir diadili oleh juri terdiri daripada Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang, Datuk Khadijah Ibrahim dan Datuk Rosyam Nor.

Hadiah disampaikan Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh.

Program akhir GV4 dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse. Konsert akhir turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada penyanyi Ezad Lazim dan Mamat Exist.-BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.