Tayar Pesawat AirAsia Meletup Ketika Mendarat

Sebuah pesawat A320 AirAsia tidak dibenarkan berlepas dari Lapangan Terbang Sibu, malam semalam, selepas tayar belakangnya meletup sebaik sahaja mendarat kira-kira jam 7.20 malam.

 

Pengurus Malaysia Airport Berhad Sibu, Zainuddin Abu Nasir berkata, kesemua 138 penumpang serta enam anak kapal penerbangan AK6440 itu tidak mengalami kecederaan, dan pesawat tidak dibenarkan berlepas, setelah diarah ke ‘Bay 3′, sebaik sahaja mendarat.

 

Beliau berkata, kejadian itu mengakibatkan satu unit lampu di tepi landasan mengalami kerosakan, namun ia tidak menjejaskan jadual penerbangan lain.

 

“Pesawat sudah diletakkan di ‘open bay’ kami dan sedang dibaiki, manakala lampu landasan sudah ditukar,” katanya ketika dihubungi.

 

Beliau berkata, penumpang yang sepatutnya menaiki penerbangan dari Sibu ke Kuching pada jam 7.50 malam tadi, terpaksa menunggu sebuah pesawat AirAsia lain yang dijangka berlepas awal pagi nanti.

 

Menurutnya, punca kejadian itu masih dalam siasatan.

 

Sementara itu, difahamkan kejadian tersebut mengakibatkan kelewatan selama beberapa jam bagi dua lagi penerbangan, MH3383 ke Kuching dan MH3660 ke Miri.-RakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.