Sesak : Tambak Johor Catat Sejarah

Tambak Johor yang menghubungkan dua negara mencatatkan sejarah apabila semalam (Khamis), orang ramai mengisytiharkannya sebagai laluan paling sesak.

 

Ia bukan sahaja laluan kereta malah laluan motosikal dan juga lori turut mengalami kesesakan.

 

Kesesakan melampau itu tidak terhad kepada laluan kenderaan, tetapi pejalan kaki juga berasak-asak untuk memasuki Singapura lapor Sinchew Daily.

 

Difahamkan orang ramai yang menyaksikan kesesakan melampau seawal jam 5 pagi telah memilih berjalan kaki untuk melintas Tambak Johor.

 

Untuk mengawal keadaan dan mengelak terlalu ramai orang berasak, Singapura telah menghalang pejalan kaki memasuki sempadan pada sekitar jam 6 pagi.

 

Keadaan itu menyebabkan semua pejalan kaki terpaksa berpatah balik dengan berjalan kaki semula ke Johor. Kemudiannya, mereka menaiki bas untuk ke Singapura.

 

Dilaporkan, polis trafik dari Singapura dan Malaysia telah bertugas sejak awal pagi untuk mengelakkan motosikal memasuki laluan kereta. Bagaimanapun, kesesakan beransur pulih, hanya selepas pihak berkuasa membuka semula laluan untuk pejalan kaki memasuki Singapura.

 

Keadaan itu bagaimanapun sudah menyebabkan ramai pekerja dari Malaysia terlewat dengan tidak kurang yang memohon cuti kerana terperangkap dalam kesesakan melampau.

 

Banyak pemandu kenderaan yang terkejut dengan kesesakan melampau juga enggan meneruskan perjalanan ke Singapura tetapi memilih berpatah balik.

 

Kesesakan di Tambak Johor bertambah teruk pada Disember dan menurut pengguna tambak itu, pelbagai faktor mendorong keadaan itu.-SuaraTV

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.