Rakyat Dikelirukan Punca Harga Naik, Ringgit Turun – Najib

KUALA LUMPUR – Terdapat segelintir pihak yang cuba mengelirukan rakyat mengenai punca sebenar kenaikan harga barang dan kejatuhan mata wang negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

 

Perdana Menteri berkata, mereka cuba menyalahkan kerajaan semata-mata, walhal kerajaan sedang berusaha dengan gigih mencari jalan bagi mengawal harga barang yang naik akibat faktor luaran.

 

“Saya amat memahami isu kos sara hidup rakyat. Ingin saya nyatakan bahawa kerajaan sentiasa berusaha sedaya upaya untuk mencari jalan bagi meringankan beban rakyat.

 

“Contohnya, kerajaan telah mengumumkan diskaun-diskaun khas pengangkutan awam baru-baru ini dan kerajaan juga sedang meneliti langkah-langkah lain yang perlu dan mampu dilakukan oleh kita,” katanya menerusi laman web NajibRazak.com, sebentar tadi.

 

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, penurunan harga minyak mentah dunia sehingga menjejaskan pendapatan negara lebih RM30 bilion pada tahun depan membataskan keupayaan kerajaan untuk berbelanja, termasuk memperuntukkan subsidi yang lebih besar,

 

Berikutan penyusutan hasil itu, Perdana Menteri berkata pelabur akan menjual ringgit untuk melabur di negara yang tidak terkesan dengan kejatuhan harga minyak, sekali gus menyebabkan nilai mata wang menguncup dan harga barangan import menjadi lebih mahal.

 

“Sekiranya kita sebagai seorang individu diturunkan atau dikurangkan pendapatannya, maka terbataslah kebolehan dan kemampuan kita untuk berbelanja.

 

“Samalah dengan kerajaan, terbatas dalam kebolehan serta kemampuan apabila pendapatan negara berkurangan. Jika dilihat, trend ringgit kita hampir selari dengan trend harga minyak,” katanya- Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.