Pekerja Besi Buruk Dijatuhi Hukuman Gantung Bunuh Bayi

IPOH – Seorang pekerja besi buruk dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah merempuh khemah sebuah majlis perkahwinan di Gopeng pada Mei 2013 sehingga mengorbankan nyawa seorang bayi berusia 18 bulan.

 

C.S Senguttuwan, 30, didakwa membunuh T Thamilarasan, 18 bulan, di jalan utama Kampung Tersusun, Kopisan Baru, Gopeng, daerah Kampar, kira-kira 11 malam, pada 25 Mei 2013.

 

Tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati mandatori.

 

Mahkamah turut menjatuhi hukuman penjara masing-masing 10 tahun terhadap Senguttuwan atas dua pertuduhan cubaan membunuh S Tarmenthiran, 5, (ketika kejadian umur 3 tahun), dan S Punjala, 59, (ketika kejadian umur 57 tahun), di tempat, masa dan tarikh sama, mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

 

Bagaimanapun, Pesuruhjaya Kehakiman Noorin Badaruddin memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap.

 

Dalam penghakimannya, beliau berkata mahkamah mendapati pihak pendakwaan, yang mengemukakan 12 saksi dalam perbicaraan itu, berjaya mengemukakan kes melampaui keraguan munasabah.

 

Kata Noorin, beliau mendapati keterangan pembelaan diri Senguttuwan adalah sesuatu yang tidak munasabah.

 

Beliau berkata berdasarkan keterangan saksi yang merupakan seorang anggota polis, dia terserempak dengan kereta tertuduh, iaitu orang yang dikehendaki bersabit satu kes rusuhan, berhenti di sebuah kawasan di Gopeng.

 

“Menyedari kehadiran saksi, tertuduh cuba melarikan diri sehingga tiba di tempat kejadian (majlis perkahwinan). Saksi ketika itu mengekori dari arah belakang. Tertuduh dikatakan menghentikan keretanya di hadapan majlis perkahwinan itu.

 

“Namun, menyedari kehadiran anggota polis itu, tertuduh telah menghidupkan semula lampu keretanya dan nekad merempuh dan melanggar ke arah khemah tersebut sebanyak dua kali,” katanya.

 

Noorin berkata mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan bahawa khemah di majlis perkahwinan itu memuatkan lebih 50 tetamu dan diterangi lampu.

 

“Oleh itu, mahkamah tidak boleh menerima keterangan tertuduh yang menyatakan dia tidak melihat sesiapapun di bawah khemah itu. Tertuduh juga didapati berhenti sekejap sebelum merempuh, jadi adalah mustahil tertuduh tidak dapat melihat sebarang orang di khemah itu pada waktu itu,” katanya.

 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Jeffrey Ong manakala tertuduh diwakili peguam, Charan Singh.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.