NGO, Peniaga Mahu Bawa Isu Pengharaman Vape Ke Mahkamah

KUALA LUMPUR – Sekumpulan peniaga rokok elektronik (vape) bersama-sama dengan kerjasama sebuah NGO berhasrat membawa isu pengharaman vape di Kelantan dan Johor ke mahkamah bagi menuntut ganti rugi.

 

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) Mohd Ridzuan Abdullah dalam kenyataan di petik dari Malaysiakini berkata, pihaknya akan memfailkan injunksi itu minggu depan bagi mencabar pengharaman tersebut.

 

“Kita akan bawa ke mahkamah dan tuntut ganti rugi kerana memberikan tempoh masa yang singkat kepada peniaga vape.

 

“Kita juga akan pastikan peniaga dapat berniaga seperti biasa,” katanya.

 

Menurut Ridzuan, peguam yang mewakili mereka akan memfailkan injuksi tersebut di mahkamah pada minggu depan.

 

Kelantan dan Johor telah memuktamadkan larangan penjualan vape di negeri masing-masing bermula 1 Januari 2016.

 

Dalam pada itu, wakil peniaga vape, Hafiz Rahman dalam laporan yang sama melahirkan rasa kecewanya apabila pihak kerajaan dilihat mahu menutup industri tersebut sedangkan rokok masih dibenarkan penjualannya.

 

“Sedih dengan apa yang berlaku dalam industri kami sebab ada yang dah mula berniaga pada 2009. Ada peniaga yang telah melabur cukup banyak sampai peringkat juta-juta.

 

“Rokok terang-terang ada nikotin tetapi boleh pula jual dan dibeli di mana-mana sahaja sebab rokok diberi pengecualian dalam Akta Racun.

 

“Ini ketidakadilan berlaku. Kami memohon supaya kerajaan dan perdana menteri sendiri ambil peduli tentang permasalahan kami ini,” keluhnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.