Multaqa Serantau Al-Azhar Lulus Resolusi Kerjasama UMNO, PAS

KUALA LUMPUR – Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 yang berakhir hari ini meluluskan tujuh resolusi yang mana salah satu daripadanya menyeru kerjasama politik antara dua parti umat Islam terbesar di Malaysia iaitu Pas dan Umno.

 

Presiden Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (WAAGM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti, berkata ia adalah untuk menyeru supaya umat Islam di negara ini lebih bersatu padu yang membolehkan suasana yang lebih baik dan harmoni dapat diwujudkan.

 

“Oleh itu Multaqa telah memutuskan tujuh resolusi iaitu mengajak umat Islam agar bersatu, menjaga adab dalam berbeza pendapat, mewujudkan satu jawatankuasa penaja untuk mengadakan pertemuan berkala antara Pas-Umno.

 

“Selain itu umat Islam perlu teguh menghadapi cabaran semasa, perlu mengambil pandangan wasatiyah serta mengajak Umno-Pas bersatu dan juga perpaduan umat Islam di Malaysia perlu berpandukan al-Quran dan as-Sunnah,” katanya ketika menyampaikan resolusi itu di Hotel Grand Seasons di sini hari ini.

 

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

 

Tambah ‎Mohd Fakhruddin lagi, perpaduan antara Pas dan Umno ditekankan dalam resolusi ini kerana sudah tiba masanya umat Islam di Malaysia kembali bertaut dan bersatu sepertimana yang diajar oleh Nabi Muhammad S.AW.

 

Jelasnya, Umno dan Pas perlu bekerjasama ‎demi kebaikan ummah, perbezaan ideologi politik harus diangkat sebagai kelainan pendekatan.

 

“Kerjasama itu tidak semestinya dileburkan menjadi satu namun perbincangan dan dialog secara efektif dan berterusan harus dilakukan agar wujud keakraban hubungan dan pandangan.

 

“Oleh itu Pas-Umno dapat menghadapi cabaran dalam usaha menentang ideologi barat dan ideologi asing,” ujarnya. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.