Kerjasama UMNO, PAS bukan perpaduan penyamun – Mohd Amar

PAS tidak mahu melihat kerjasama yang sedang diusahakan antara parti itu dan UMNO diibaratkan sebagai ‘perpaduan penyamun’.

 

Naib Pre­sidennya, Datuk Nik Mohd. Amar Nik Abdullah menegaskan, ini kerjasama perpaduan sebegitu tidak akan kekal lama dan akhirnya dua parti itu akan kembali berbalah.

 

Justeru beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, sebarang kerjasama antara dua parti itu perlu meletakkan agama Islam sebagai kepentingan utama.

 

“Kedua-dua parti perlu ikhlas bila bercakap tentang perpaduan. Kena letak kepentingan Islam mengatasi segalanya.

 

“Kalau ingin bekerjasama kerana politik, perpaduan itu tidak akan ke mana.

 

“Ia mungkin menjadikan dua parti itu bersatu seketika namun selepas itu bergaduh balik. Akhirnya jadi perpaduan penyamun.

 

“Kerjasama perpaduan yang ingin dibina mesti bukan berasaskan politik, kaum dan kelompok namun perpaduan kerana Islam,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada Forum Perpaduan Ummah Merentasi Ideologi sempena Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 di sini malam ini.

 

Forum itu melibatkan dua lagi panel iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pegawai Eksekutif Global Moderate Movement, Nasharuddin Mat Isa serta Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Tan Sri Johan Jaafar bertindak sebagai moderator.

 

Mengulas lanjut, Mohd. Amar berkata, Pas sentiasa terbuka apabila menyentuh tentang agama dan ummah.

 

Jelasnya, sejarah pernah tercatat 17 tahun lalu apabila dua bekas presiden kedua-dua parti itu duduk di atas satu pentas bercakap dalam nada sama tentang Palestin.

 

“Petang tadi sejarah itu berulang kembali apabila kedua-dua presiden hari ini dapat duduk di atas pentas yang sama.

 

“Cuma usaha kerjasama ini tidak boleh di salah anggap dan tidak ada mana-mana pihak yang akan mengambil kesempatan.

 

“Usaha sebegini memerlukan kesungguhan semua pihak dan semoga Allah swt merahmatinya.

 

“Cuma Pas tidak setuju gabung jadi parti tetapi boleh kerjasama dan pada masa sama masih boleh bergaduh,” katanya tersenyum.-MG

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.