Foto Jokowi – Nikita Mirzani Tersebar, Jadi Sensasi Di Internet

JAKARTA – Masih belum reda skandal pelacuran Nikita Mirzani, gambar terbaru menunjukkan pelakon Indonesia itu duduk bersebelahan dengan Presiden Joko Widodo tersebar meluas di Internet.

 

Pengguna akaun sosial Twitter @ypaonganan beberapa kali memuat naik gambar tersebut dengan catatan dan hashtag berbaur lucah, antaranya #PapaMintaPaha dan #PapaDoyanLonte (Papa suka pelacur), merujuk pemimpin dikenali sebagai Jokowi itu sebagai “Papa”.

 

“Ada sampai 200 kali beliau memuat naik gambar pada tarikh 12 hingga 14 Disember yang melanggar Undang-Undang Informasi dan Transaksi Elektronik dan Undang-Undang Pornografi,” kata pegawai polis Indonesia dipetik laporan berita portal detiknews.com.

 

Suspek pemilik akaun @ypaonganan bernama Yulius Paonganan kemudian ditahan Agensi Siasatan Jenayah Polis untuk disoal siasat semalam kerana memuat naik gambar yang berunsurkan porno.

 

Gambar itu diambil beberapa tahun lalu, menunjukkan Jokowi yang ketika itu kelihatan muda, dan Nikita yang berambut pendek duduk tersenyum di sofa di sebuah majlis selain dihadiri beberapa orang awam lain.

 

Detiknews melaporkan, gambar itu diambil ketika Jokowi menghadiri tayangan filem “Brandal Brandal Ciliwung” di Epicentrum, Jakarta Selatan pada Ogos 2012.

 

Jokowi ketika itu masih menjadi calon Gabenor Jakarta, menghadiri majlis tayangan filem arahan Guntur Soeharjanto bersama anak-anak yatim.

 

Nikita, 29, dan bekas finalis Ratu Indonesia tahun lepas Puty Revita Sari, 23, ditangkap polis malam Khamis minggu lalu di Hotel Indonesia Kempinski.

 

Nikita, pelakon filem “Perempuan-perempuan Liar”, didakwa mengenakan bayaran 65 juta rupiah (RM20,000) bagi layanan selama tiga jam, manakala Puty pula meminta 40 juta rupiah (RM12,300).

 

Mereka berdua dilaporkan menggunakan dua lelaki, hanya dikenali O dan F di media, sebagai orang tengah yang menghubung dengan pelanggan, seorang ahli perniagaan dalam bidang perlombongan.

 

Dua wanita itu dibebaskan polis atas alasan mereka sekadar mangsa jaringan pelacuran kelas tinggi itu tetapi O dan F disiasat atas dakwaan melakukan perdagangan manusia.

 

Awal minggu ini, Nikita menyangkal penglibatan beliau dalam industri seks komersil, sambil berkata beliau lebih sanggup bergambar bogel. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.