EU Wujud Peraturan Baharu Jejak Pesawat Hilang

Kotak hitam dalam pesawat yang mengalami kemalangan pada masa depan akan lebih mudah ditemui di bawah peraturan baru Kesatuan Eropah.

 

Peraturan baharu itu dibuat selepas kehilangan pesawat MH370 milik Malaysia Airlines yang masih misteri sehingga hari ini.

 

Di bawah peraturan baharu itu, kotak hitam pesawat yang mengandungi data penerbangan dan perakam suara kokpit perlu beroperasi selama 90 hari berbanding 30 hari dikuatkuasakan pada pertengahan 2018.

 

Sebagai tambahan, syarikat-syarikat penerbangan perlu menjejak kedudukan pesawat masing-masing di lautan mulai akhir tahun 2018.

 

Elemen ketiga di bawah peraturan itu ialah mulai Januari tahun 2021, pendaftaran perakam perbualan kokpit perlu ditambah kepada 25 jam berbanding dua jam sebelum ini.

 

“Peraturan baharu itu akan menambah baik jejak pesawat dan kedudukan lokasi pesawat yang mengalami masalah di mana-mana di dunia ini,” kata Suruhanjaya Eropah dalam satu kenyataan.

 

Jika berlaku kemalangan di atas air, peraturan baharu itu juga membolehkan penyiasat segera mengenal pasti lokasi bangkai pesawat dan memperoleh segera data yang mengandungi perakam dalam pesawat.

 

Eropah berusaha menjadi contoh kepada Pertubuhan Penerbangan Awam sebagai pengawal selia di seluruh dunia dengan mendahului standard teknologi baru bagi siasatan kemalangan.

 

Suruhanjaya itu telah berunding kerajaan EU pada awal Julai lalu tentang kaedah-kaedah peraturan tersebut, kemudiannya dibawa kepada penelitian Parlimen Eropah dan kini akan mula berkuatkuasa. – MG

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.