Bomba Sukarela Kampung Bertam Terima Dua Bot Persediaan Banjir

GUA MUSANG – Jabatan Bomba dan Penyelamat daerah ini menyerahkan dua bot kepada Bomba Sukarela Kampung Bertam, dekat sini, semalam, sebagai persiapan menghadapi banjir.

 

Penyerahan dua bot gentian kaca itu dilakukan Ketua Balai  Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Anuar Abas kepada Pengerusi Bomba Sukarela kampung berkenaan, Che Mokhtar Che Ahmad, sekali gus menjadi bomba sukarela pertama di Kelantan dilengkapi kemudahan itu.

 

Anuar berkata, Bomba Sukarela kampung itu diberi kemudahan bot berkenaan kerana kampung itu terletak jauh di pedalaman dan memerlukan tindakan segera jika berlaku banjir.

 

Beliau berkata, selain kampung berkenaan, beberapa kampung berhampiran seperti Kampung Bertam Lama, Kampung Sendok dan Kampung Limau Kasturi antara paling berisiko menghadapi banjir seperti yang berlaku akhir tahun lalu.

 

“Bot berkenaan adalah sumbangan syarikat telekomunikasi Maxis kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat di sini yang kemudian di serahkan kepada pasukan Bomba Sukarela kampung berkenaan.

 

“Setiap bot berkenaan boleh memuatkan lima orang dan akan digunakan dalam operasi banjir, termasuk memindah dan menyelamat mangsa jika berlaku banjir.

 

“Seramai 41 anggota bomba sukarela kampung ini juga sudah mahir mengendali bot kerana mereka juga mempunyai bot sendiri,” katanya kepada pemberita, semalam.

 

Sementara itu, Che Mokhtar berkata, Bomba Sukarela Kampung Bertam ditubuhkan awal tahun 1990 lagi dan mampu bertindak segera jika berlaku kejadian tidak diingini termasuk kebakaran, kemalangan dan banjir.

 

“Saya menasihatkan penduduk di kawasan rendah dan yang tinggal sepanjang Sungai Galas dan Nenggiri supaya tidak leka dengan cuaca panas ketika ini kerana apabila hujan lebat beberapa jam sahaja, ia boleh berlaku banjir,” katanya. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.