Tuah Syura Sertai MasterChef Selebriti

Kuala Lumpur – Keputusan Syura memilih menyertai MasterChef Selebriti 2 tahun lalu membawa tuah buatnya apabila dia muncul sebagai juara.

Sejak itu, dia tidak menang tangan memenuhi pelbagai tawaran menjayakan undangan pelbagai pihak.

Kepakaran memasak serta kepetahan bercakap membuatkan ramai tertarik dengan Syura atau nama sebenarnya Zuraidah Badron, 28.

Terbaru, dia dijemput Perbadanan Labuan untuk menghiburkan peserta, membuat demonstrasi masakan, menjadi juri pertandingan memasak serta bertindak sebagai moderator untuk sebuah forum keusahawanan di Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah baru-baru ini.

Program sempena Majlis Penyampaian Hadiah Program Kemeriahan Pasar Wilayah Persekutuan Labuan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.

“Saya seronok dengan dunia baru ini kerana selain menyanyi, saya dapat menimba banyak ilmu dalam bidang usahawan. Saya banyak ambil tip dan pengalaman berharga ketika jadi moderator untuk forum keusahawanan.

“Bukan itu saja, saya juga dijemput untuk membuat demonstrasi masakan serta juri pertandingan memasak. Macam tak percaya kerana saya sekarang sudah pandai masak dan mengolah resipi-resipi baru.

“Bayangkan dulu masak mi segera pun boleh hangit. Memang boleh tergelak dibuatnya kalau terkenangkan kisah lama,” katanya.

Ibu kepada tiga anak ini sekarang mengikuti pengajian di Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) dalam bidang seni kulinari.

Bagaimanapun dalam kesibukannya mengikuti pelajaran, Syura masih sempat menghasikan single terbarunya berjudul Gantung dan Ajari Aku Cinta.

“Sebenarnya sudah setahun saya siapkan kedua-dua single itu tapi hingga kini masih belum diputarkan di mana-mana stesen radio. Entahlah, mungkin mereka terlalu memilih.

“Kalau diikutkan, lagu Gantung adalah ciptaan komposer terkenal Edry KRU dan Ajari Aku Cinta pula ciptaan Awi Rafael. Apa lagi yang tak kena dengan ciptaan mereka?

“Demi peminat juga saya sanggup bertukar dari genre irama tradisional kepada muzik yang lebih ‘catchy’. Namun hingga kini lagu saya masih belum diputarkan di radio. Perasaan kecewa saya sukar nak digambarkan lagi.

“Kalau nak dikatakan tak sedap, lagu ini memang dapat sambutan ramai menerusi YouTube.

“Apabila dah lama tak muncul di radio, peminat ingat saya dah tak menyanyi. Selalu juga mereka bertanyakan perkara ini kepada saya. Diharap dengan berkumandangnya lagu ini di radio, dapat mengubati rindu peminat terhadap saya,” katanya yang popular dengan lagu Nazam Berkasih.
sumber : Harian Metro

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.