VIDEO: Saya Sedia Kurangkan Saman Pemandu – KP JPJ

Putrajaya – Langkah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengadakan program Ketua Pengarah Bertemu Pelanggan pada setiap Selasa sejak lebih setahun lalu membantu rakyat terutama dalam menyelesaikan pelbagai isu dan masalah termasuk saman.


Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, walau bagaimanapun dalam isu saman, setiap permohonan sama ada perlu dikurang atau dikecualikan berdasarkan budi bicaranya tetap tertakluk kepada latar belakang satu-satu kes.

Beliau berkata, antaranya keutamaan diberi kepada pemohon-pemohon dalam kalangan mereka yang kurang berkemampuan se­perti ibu-ibu tunggal, bekas banduan, warga emas serta orang sakit.

“Contoh lain berkaitan dengan lokasi. Berlaku keadaan di mana seorang pemandu itu terpaksa memotong barisan kenderaan sejauh tiga kilometer di sebelah kiri jalan disebabkan ada hal kecemasan yang tidak dapat dielakkan dan kebetulan lokasi tersebut merupakan tempat biasa berlaku kesesakan terutama pada waktu selepas bekerja.

“Dalam kes ini, saya sedia mengurangkan saman pemandu terbabit. Walau apa pun sebelum sebarang keputusan dibuat saya akan menemu bual pemandu-pemandu terlibat terlebih dahulu pada hari bertemu pelanggan seperti yang diadakan hari ini,” katanya.

Beliau berkata kepada Utusan Malaysia ketika meninjau perjalanan program Ketua Pengarah JPJ Bertemu Pelanggan di pejabatnya di sini semalam.

Program tersebut bermula pada pukul 2.30 petang dan berakhir 5 petang pada setiap Selasa.

Ismail berkata, selain saman, pihaknya turut menerima permohonan-permohonan serta aduan lain seperti menggunakan cermin gelap khususnya bagi orang berpenyakit, isu-isu berkaitan pelesenan serta menyentuh soal kebajikan kakitangan dan pegawai-pegawai JPJ.

“Saya gunakan sepenuhnya hari bertemu pelanggan ini untuk menyelesaikan pelbagai masalah dan isu berbangkit bukan sahaja membabitkan pengguna-pengguna jalan raya bahkan turut melibatkan kepentingan serta kebajikan kakitangan dan pegawai-pegawai JPJ,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail mengakui langkah proaktif seperti itu memberi satu kepuasan kepada dirinya kerana dapat membantu mereka yang berada di dalam kesusahan.

“Dari segi orang ramai banyak isu yang mereka hadapi. Jadi ini merupakan sentuhan peribadi saya dan JPJ untuk kita memberi khidmat kepada komuniti seperti yang dikehendaki oleh kerajaan selain kita melakukan kerja-kerja penguatkuasaan.

“Kita sebenarnya mahu rakyat merasai yang mereka sentiasa diberikan perhatian oleh JPJ dan bagi saya ini merupakan satu kepuasan apabila kita dapat membantu mereka yang berada dalam kesusahan,” ujarnya. -Utusan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.