Penalti Piala Suzuki 2014, Mohamad Fadhli Mohon Maaf

Sepang – Pemain pertahanan skuad Harimau Malaya, Mohamad Fadhli Mohd Shas memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana menyebabkan sepakan penalti diberikan kepada Thailand dalam aksi final pertama Piala AFF Suzuki 2014 di Bangkok pada Rabu malam.

Beliau menjatuhkan penyerang Thailand, Adisak Kraisorn di dalam kawasan penalti pada minit ke-71 yang menyebabkan pengadil Kavalenko Valentin menghadiahkan sepakan penalti kepada Thailand yang disempurnakan Charyl Yannic Chappuis.

“Saya ingin minta maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana mungkin kesilapan saya telah menyebabkan skuad Malaysia kalah 0-2,” katanya kepada pemberita sejurus skuad Malaysia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini pada 2.17 petang.

Beliau berkata tindakannya ke atas pemain Thailand itu adalah tidak disengajakan dan terjadi secara spontan ketika beliau cuba sedaya upaya mempertahankan benteng Harimau Malaya.

Gol kedua Thailand dijaringkan pada minit ke-82.

Sementara itu penyerang Harimau Malaya, Mohd Amri Yahyah berharap mereka dapat menjaringkan gol di awal permainan pada aksi final kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini.

“Saya harap dengan semua usaha gigih yang ditunjukkan rakan pemain, kita akan dapat menjaringkan gol di awal permainan nanti,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.