Kesibukan Bekerja Punca Rakyat Malaysia Layari Laman Web Lucah

Kuala Lumpur – Kesibukan bekerja sehingga tidak mempunyai masa mencukupi untuk bersama pasangan, mungkin adalah faktor utama mengapa jumlah individu yang melayari laman sesawang lucah lebih tinggi di Terengganu, Kelantan, Kuala Lumpur dan Miri, Sarawak.

Pakar Perunding Psikologi dan Keluarga, Suzana Ghazali berkata, mereka yang tinggal di Terengganu dan Miri contohnya, mungkin bekerja dalam sektor minyak dan gas yang jarang-jarang pulang ke rumah.

Menurut Suzana lagi, disebabkan faktor itu, jumlah masa yang dihabiskan untuk melayari laman sesawang lucah lebih tinggi berbanding tempat lain di negara ini.

“Mereka sukar untuk pulang dan berjumpa isteri masing-masing di rumah, kerana sibuk bekerja, namun naluri seks masih ada dalam diri mereka.

“Oleh itu, mereka mungkin terpaksa melayari laman web berkenaan, disebabkan kekangan yang dihadapi tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan The Star pada Selasa, di mana statistik syarikat video dewasa atas talian ‘Pornhub’ menunjukkan, pengguna di bandar Kuala Terengganu menghabiskan purata 12 minit 58 saat untuk menonton atau mencari bahan visual pornografi.

Tambah Suzana, kecanggihan teknologi hari ini memudahkan orang ramai mendapat akses Internet, sekaligus membolehkan mereka melayari laman sesawang lucah.

Jelasnya, kini semua lapisan masyarakat, termasuk kanak-kanak memiliki telefon pintar dan sudah tentu tidak sukar bagi mereka melayari laman sesawang tersebut.

Beliau berkata, kajian menunjukkan, menonton bahan lucah memberi kesan sampingan tidak baik dalam hubungan suami isteri.

“Sekiranya si suami terlalu banyak menonton video atau gambar porno, terdapat kemungkinan tinggi mereka hilang fitrah asalnya dan kurang melakukan hubungan seks dengan isteri.

“Kini, terdapat ‘group’ (kumpulan) khusus dalam aplikasi WhatsApp yang diwujudkan khas untuk menyediakan bahan-bahan pornografi untuk disebarkan kepada orang ramai,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.