Kerajaan Bakal Umum Langkah Perkukuh Lagi Ekonomi – Hamim

Kuala Lumpur – Kerajaan dijangka mengumumkan langkah-langkah untuk mengkukuhkan lagi ekonomi dalam masa terdekat berikutan penyusutan nilai ringgit sejak kebelakangan ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Dr Hamim Samuri.

Beliau berkata, perancangan sedang diatur bersandarkan kepada asas-asas ekonomi yang masih kukuh, serta trend pelaburan dalam negara dan imbangan bayaran yang positif.

“Rakyat seharusnya meletakkan kepercayaan kepada kerajaan dan memberi ruang kepada pemimpin berdasarkan kepada pengalaman terdahulu,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran jawatankuasa Perdasama Muda Nasional, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Hamim enggan mengulas lanjut mengenai langkah yang bakal diambil itu.

Terdahulu, beliau berkata kerajaan mempunyai pengalaman dalam menangani masalah kejatuhan nilai ringgit semasa krisis kewangan pada tahun 1997.

Namun, kini situasi agak berbeza kerana ia lebih kepada susulan kejatuhan harga komoditi, kata beliau.

Sementara itu, Hamim menggesa rakyat supaya tidak risau atau panik hingga membuat pembelian barangan secara pukal berikutan kejatuhan nilai ringgit.

Beliau berkata aktiviti agresif tersebut boleh menjejaskan usaha kerajaan dalam mengatur langkah-langkah tertentu bagi mengukuhkan ekonomi negara.

Sekiranya nilai kejatuhan ringgit tidak dapat dikawal dalam jangka masa panjang, ia boleh menjejaskan ekonomi, katanya.

Perdasama Muda adalah unit di bawah Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) yang diwujudkan bagi menarik penyertaan Bumiputera dalam pembangunan ekonomi negara.

Presidennya, Feruddin Emir Moehamad Izat Emir berkata menerusi ‘Road Map 2015’ yang digariskan, antara aspek yang ditekankan adalah 4P – pendidikan, pekerjaan, pendapatan, perniagaan dan premis hartanah.

Katanya organisasi tersebut menyasarkan 5,000 anggota menyertai Perdasama Muda menjelang akhir 2015.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.