Isu Hudud: Nik Abduh Bidas Latheefa Koya

Shah Alam – Tindakan kerajaan PAS Kelantan yang mahu melaksanakan pindaan enakmen hudud mencetuskan perbalahan antara pemimpin dalam sekutu Pakatan Rakyat, apabila masing-masing mengeluarkan kenyataan secara terbuka.

Terbaharu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz menempelak Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Latheefa Koya menerusi laman sosial Facebook beliau.

Menerusi entri dengan tajuk ‘Jawapan Buat Seorang Peguam Wanita’, Nik Abduh menyangkal dakwaan pemimpin wanita berkenaan yang mengatakan agenda hudud PAS adalah demi menarik perhatian umum daripada krisis 1Malaysia Developement Bhd (1MDB) yang mengheret Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Ujar Ahli Parlimen Pasir Mas itu, kerajaan PAS Kelantan konsisten dengan agenda pelaksanaan hudud sejak lebih 20 tahun lalu dan tidak mungkin ditimbulkan secara tiba-tiba.

“Agenda hudud PAS dah bawa sejak lebih 20 tahun. Macamana ia boleh dihentikan semata2 kerana isu 1MDB?

“Jika isu 1MDB berjaya menyekat PAS daripada memperjuangkan hak ugama, maka PAS sebenarnya telah masuk perangkap sekularisme. Itu lagi teruk.

“Perjuangan menegakkan syariah Islam adalah melewati kepentingan PAS dan BN. Ia adalah demi kebaikan dan keadilan untuk seluruh rakyat. Kelantan berikrar memulakannya,” tulis beliau.

Latheefa dalam kenyataannya sebelum ini juga berpandangan kerajaan negeri Kelantan perlu memberikan tumpuan kepada membanteras rasuah dan salah guna kuasa oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) daripada tergesa-gesa melaksanakan hudud.

“PAS perlu membetulkan keutamaannya ketika masalah ekonomi yang dihadapi orang biasa di negara ini meningkat,” kata Latheefa.

Dalam jawapan kepada persoalan yang dilemparkan peguam wanita itu, ujar Nik Abduh, PAS tidak pernah ‘meletak tepi’ isu penyelewengan yang dilakukan kerajaan, sambil menambah perjuangan PAS bukan hanya sekadar isu ekonomi semata.

“PAS membina Malaysia dengan membina manusia, bukan sekadar membina Malaysia dengan membina ekonomi semata-mata,” ulas anak kepada Mursyidul Am PAS itu lagi.

Kenyataan lantang Nik Abduh dilihat menyemarakkan lagi sekitar perbahasan isu hudud yang melingkari gagasan pembangkang, apatah lagi ketika ini dua rakan PAS iaitu PKR dan DAP dilihat enggan senada bersama parti Islam itu dalam isu berkenaan.

Manakala semalam, Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli dilihat secara terbuka mendesak PAS supaya menangguhkan rancangan melaksanakan hudud di Kelantan, sebaliknya memberi fokus kepada permasalahan rakyat yang lebih ‘mendesak’ khususnya berhubung kenaikan kos sara hidup, berbanding mengutamakan pelaksanaan hukum jenayah Islam itu.

Sementara itu, rakan sekutu mereka, DAP pula secara terang-terangan meminta Pakatan menjelaskan pendirian untuk tidak mahu melaksanakan hudud jika mahu menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.