Bell Tidak Ambil Hati Dimaki Mamat Khalid

Kuala Lumpur – Pelakon komedi berpengalaman, Bell Ngasri tidak mengambil hati walaupun sering dimarahi pengarah Mamat Khalid sepanjang di set penggambaran filem Rumah Pusaka Di Simpang Jalan.

Bell atau nama sebenarnya Nasrizal @ Ngasrizal Ngasri, 34, berkata, perangainya yang sesuka hati ‘ad-lib’ dialog dan menokok tambah jenaka sendiri membuatkan dia kerap ditegur pengarah filem berkenaan.

“Saya selalu kena marah. Penggambaran filem ni banyak dijalankan pada waktu malam, jadi bayangkan pukul tiga pagi saya kena maki dengan dia. Boleh dikatakan setiap hari saya kena marah sebab dia tak boleh terima lawak saya buat.

“Tapi sebenarnya, saya tahu ada jenaka yang dia suka cuma dia marahkan saya sebab dia tak mahu saya merapu lebih dalam filem ini. Itulah cabaran besar saya dalam cerita ini kerana saya tidak boleh melawak sesuka hati.

“Satu lagi yang mencabar, dia mahukan lakonan saya dengan riak muka yang serius tetapi pada masa sama dia mahukan ciri-ciri kelakar itu ada,” ujarnya yang memegang watak sebagai Markonah Markisa dalam filem komedi seram itu.

Rumah Pusaka Di Simpang Jalan dijangka tayangan pada Januari depan dan turut dijayakan barisan pelakon popular seperti Pekin Ibrahim, Jihan Muse dan Syuk Balas.

Seringkali membawakan watak komedi, Bell menyatakan dia tidak pernah melabelkan dirinya seorang pelawak. Sebaliknya, setiap kali diberikan satu watak, dia akan melakukannya sebaik mungkin dan terpulang kepada penilaian penonton.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya lebih kepada watak kelakar dan masih lagi belajar kerana sebelum ini saya memegang watak serius. Saya datang bukan terus daripada melawak, mungkin orang ramai tidak boleh terima saya berlawak.

“Saya sekadar mencuba dan tidak pernah pula kata diri saya kelakar tetapi kalau ada yang gelak itu terpulang. Saya hanya lakukan apa yang diarahkan oleh pengarah sesebuah filem atau drama,” katanya yang juga bakal mucul dalam filem Cicakman 3 yang akan ditayangkan tidak lama lagi. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.