1MDB Digesa Jernihkan Keadaan

Kuala Lumpur – Putrajaya hari ini menggesa pengurusan tertinggi dana kekayaan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berdepan dengan rakyat dan menjelaskan keadaan berhubung status kewangan syarikat itu, menurut laporan theedgemarkets.com hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata, 1MDB perlu menerangkan dengan terperinci dinamika operasinya dan kewangannya kepada umum kerana ia melibatkan wang pembayar cukai.

“1MDB perlu berbincang dan berkomunikasi dengan jelas. Ia mempunyai aset yang bagus dan saya yakin tiada masalah berhubung perkara itu,” beliau dipetik berkata.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan laporan polis dibuat timbalan ketua bahagian Umno Batu Kawan Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan terhadap syarikat itu Jumaat lepas.

Dalam laporan polis pada hari Jumaat, Khairuddin meminta siasatan “terperinci dan menyeluruh”, menggesa pihak berkuasa menyoal siasat pengarah dan wakil daripada mana-mana syarikat yang mungkin terlibat dalam skandal 1MDB.

Katanya, beliau membuat laporan terhadap syarikat dan lembaga pengarahnya selepas mengkaji pelbagai laporan dalam media cetak nasional dan antarabangsa serta media online yang “jelas terbukti” terdapat kelemahan dalam pengurusan dana pembayar cukai 1MDB.

1MDB – idea Najib – dana kekayaan negara kedua selepas Khazanah Nasional Bhd. Syarikat itu baru-baru ini mendapat perhatian selepas beberapa pemimpin pembangkang mendedahkan hutang dana yang besar, tawaran tanah meragukan dan kerahsiaan ke atas urusannya.

Khairuddin menafikan kepada The Malaysian Insider yang ada ahli Umno yang lebih berkuasa di belakangnya dalam tindakannya membuat laporan polis.

Beliau juga berkata, tidak terdapat plot bagi menjatuhkan Najib dan menegaskan beliau bertindak sendiri demi kepentngan rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.