VIDEO: Hari Kitar Semula Kebangsaan 2018 Platform Untuk Terap Minda Kelas Pertama Agar Masyarakat Budayakan 3R

Oleh: Shuhaniza Said

CYBERJAYA – Tahukah anda, kadar kitar semula di Malaysia masih di tahap rendah berbanding dengan negara maju yang lain?

Sehingga kini, kadar kitar semula negara kita berada pada tahap 24 peratus. Sungguhpun begitu, ia sebenarnya mencatatkan peningkatan berbanding tahun lalu yang mencatatkan hanya 15 peratus.

Peningkatan sehingga 9 peratus ini adalah disebabkan pelbagai inisiatif yang telah diambil oleh pihak berwajib untuk menggalakkan kesedaran alam sekitar, antaranya pengasingan sisa pepejal mulai 1 September 2015 dan amalan 3R (Reduce, Reuse, Recycle).

Justeru, bagi meningkatkan lagi tahap kesedaran orang ramai terhadap kepentingan kitar semula, sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan 2018 (HKSK2018) yang akan berlangsung pada 1 Disember ini mengajak seluruh rakyat Malaysia agar bangkit membanteras pencemaran demi masa hadapan alam sekitar yang terpelihara dan kesihatan yang terjamin.

HKSK2018 yang dianjurkan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bermatlamatkan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kepentingan amalan 3R dalam menerapkan minda kelas pertama kepada masyarakat dalam menjadikan amalan 3R sebagai budaya dan amalan harian.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Teknikal) SWCorp, Dr Mohd Pauze Mohamad Taha, pihaknya komited untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan amalan 3R secara berterusan sekaligus mampu meningkatkan kadar peratusan amalan kitar semula.

“Selain itu, setiap jalinan kerjasama sepanjang berlangsungnya Hari Kitar Semula Kebangsaan kali ini sama ada dalam kalangan agensi kerajaan, swasta, pemin industri pengurusan sisa pepejal dan kitar semula, institusi pendidikan dan badan bukan kerajaan (NGO) dapat diperkasakan supaya hasrat kadar kitar semula kebangsaan 30 peratus yang disasarkan dapat dicapai pada 2020 selain melestarikan sisa pepejal

“Untuk makluman, buat masa sekarang iaitu sehingga tahun 2018, kadar kitar semula kita adalah 24 peratus. Ini merupakan satu peningkatan kerana kalau kita lihat, pada 2005, kadar kitar semula kita 5 peratus.

“Dengan usaha kita, kita dapati kadar kitar semula meningkat. Tapi banyak lagi usaha perlu dipergiat untuk capai sasaran 30 peratus supaya kita boleh setidak-setidaknya setanding dengan negara maju yang lain. Kadar kitar semulan negara maju tinggi, sekitar 40 hingga 60 peratus,” katanya kepada pemberita.

HKSK2018 akan diadakan di Pantai Eco Park, Kuala Lumpur bermula jam 7.00 pagi.

Pelbagai acara menarik yang disusun untuk menggalakkan penyertaan orang ramai dalam program ini.

Ia akan dimulakan dengan acara senamrobik selama 30 minit sebelum pelepasan para peserta HKSK Fun Walk & Plogging.

Acara Fun Walk & Plogging merupakan satu tarikan utama kepada sambutan HKSK2018, di mana para peserta akan berjalan sepanjang 2.3 kilometer melalui laluan di sekitar Pantai Eco Park sambil mengutip sampah.

Selain itu, sebanyak 20 booth pameran disediakan melibatkan agensi kerajaan, agensi swasta, NGO, IPT dan Sekolah Industri; pameran ‘sculpture’, bengkel ‘upcycling’, dan ‘open mic’.

HKSK2018 turut akan diserikan dengan cabutan bertuah,’food truck’, jualan ‘car boot’, penampilan maskot Didi&Friends dan persembahan nyanyian daripada Reuz Band. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.