VIDEO: ‘Fun Walk & Plogging’, Beriadah Sambil Pupuk Semangat Cintai Alam Sekitar

 Oleh: Shuhaniza Said

CYBERJAYA – Tahukah anda, dianggarkan setiap individu di negara ini mengeluarkan sampah 1.5 hingga 2 kilogram (kg) sehari?

Menjelang 2020, dijangkakan Malaysia menghasilkan 30,000 tan sisa pepejal sehari!

Jumlah sampah dijangka akan terus meningkat seiring dengan pertambahan bilangan penduduk dan cara pembuangan sampah yang tidak terkawal oleh kita semua.

Jika tiada usaha bersepadu menguruskan buangan sisa pepejal, ini bukan sahaja membawa kepada masalah pencemaran tetapi akan menjejaskan kehidupan manusia.

Justeru, dalam usaha untuk mendidik masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengajak orang ramai untuk menyertai ‘Fun Walk & Plogging’ sempena Hari Kitar Semula Kebangsaan 2018 (HKSK2018) pada 1 Disember ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Teknikal) SWCorp, Dr Mohd Pauze Mohamad Taha berkata, acara tersebut iaitu berjalan sambil mengutip sampah merupakan acara yang baru diperkenalkan pada tahun ini, yang menjadi antara tarikan utama sempena sambutan HKSK2018 nanti.

Menariknya, kata Dr Mohd Pauze,’Fun Walk & Plogging’ adalah unik dan berlainan sekali dengan acara seumpamanya yang pernah disertai masyarakat kerana ia tidak mengenakan sebarang bayaran.

“Sekarang pendaftarannya sudah dibuka kepada orang ramai, caranya pergi ke laman web www.swcorp.gov.my/hksk/funwalk

“Tapi syarat untuk menyertai Fun Walk, peserta perlu membawa barangan kitar semula, seperti 10 botol plastik. Maknanya, peserta perlu mendaftar di laman sesawang dahulu, kemudian pada hari HKSK2018, mereka perlu membawa barangan kitar semula. Pendaftaran itu untuk membolehkan peserta mendapat kupon dan t-shirt,” kata beliau kepada pemberita.

Bagi menyertai program ini, orang ramai hanya perlu mengikuti dua langkah mudah iaitu mendaftar di www.swcorp.gov.my/hksk/funwalk dan pada membawa satu daripada tiga jenis barangan kitar semula.

Peserta boleh memilih untuk membawa 10 naskhah surat khabar atau, 10 botol plastik, atau 10 tin aluminium.

Ujarnya lagi, setakat ini sambutan yang diterima daripada orang ramai sangat menggalakkan, dan ini menjadi petanda bahawa masyarakat semakin prihatin dalam menitikberatkan penjagaan alam sekitar.

“Kita jangkakan seramai 2,000 orang akan menyertai Fun Walk, yang kita akan mulakan dengan senamrobik pada pagi itu. Fun Walk ini sejauh 2.3 kilometer melalui laluan di sekitar Pantai Eco Park. Ini bukanlah pertandingan, sebaliknya ia adalah acara santai. Ia turut mempunyai beberapa check-point yang kita akan libatkan dengan aktiviti promosi, bergambar dan sebagainya,” katanya lagi.

Acara yang akan bermula pada jam 7.00 pagi itu akan disempurnakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin. – SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.