PKR Mansuh Jawatan Ketua Umum

SHAH ALAM – Tidak ada lagi jawatan Ketua Umum PKR memandangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim kini diangkat sebagai Presiden parti pada pemilihan kali ini.

Perkara itu disahkan oleh Anwar sendiri dalam sidang media selepas tamatnya Kongres Nasional PKR ke-13 di sini hari ini.

Ujar Anwar,  jawatan Ketua Umum diwujudkan hasil resolusi kongres tahunan parti pada 2007 kerana beliau tidak boleh menjadi presiden parti pada ketika itu.

“Ia bukan (jawatan dalam) perlembagaan, ia diwujudkan khas untuk saya yang ketika itu tidak boleh memegang sebarang jawatan.

“Sekarang yang ada hanya Majlis Penasihat parti yang diketuai oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail,” katanya.

Untuk rekod, Kongres Nasional PKR 2007 yang berlangsung di Seremban, Negeri Sembilan meluluskan cadangan mewujudkan jawatan Ketua Umum PKR khusus untuk Anwar, yang ketika itu baru dibebaskan dari hukuman penjara dan disekat menyertai politik selama lima tahun.

Ia berikutan larangan Jabatan Pertubuhan Malaysia yang tidak membenarkan Anwar menyertai pemilihan parti selepas dibebaskan dari penjara.

Dalam pemilihan kali ini, Anwar yang tidak dicabar mana-mana individu telah diangkat sebagai Presiden PKR menggantikan Wan Azizah. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.