VIDEO: Pengkhianat Tak Layak Jadi Menteri Perpaduan, Pemuda UMNO Desak Waytha Moorthy Letak Jawatan

SHAH ALAM – Pemuda UMNO mendesak Senator P. Waytha Moorthy melepaskan jawatan beliau selaku Menteri Perpaduan ekoran sikapnya yang didakwa cenderung untuk membangkitkan isu-isu yang mampu mencetus gelodak kemarahan rakyat dan membangkitkan api permusuhan di antara kaum.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) itu tidak layak memegang portfolio Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial, apatah lagi sebelum ini pernah memburukkan Malaysia kepada negara luar dengan menyebarkan kenyataan palsu berupa fitnah.

“Memburukkan negara dan mengapi-apikan perkauman sehingga ke luar negara tak layak jadi Menteri jaga Perpaduan. Pengkhianat mana layak jadi Menteri Perpaduan tapi Menteri Perpecahan. Pemuda UMNO desak P.Waytha Moorthy letak jawatan,” kata Asyraf dalam satu kenyataan di Twitter.

Beliau merujuk kepada penularan sebuah video lama yang menunjukkan Waytha Moorthy selaku pemimpin utama Hindraf dalam satu temubual di Belanda mengatakan Malaysia melakukan pencabulan hak asasi dan penindasan teruk kepada kaum-kaum dan penganut agama lain, antaranya merobohkan kuil-kuil hindu dan menafikan hak asasi kaum lain di Malaysia.

Di dalam video yang mula tersebar di media sosial sejak beberapa hari lalu, Waytha Moorthy mendakwa kaum India telah didiskriminasi dalam pelbagai perkara bermula daripada hak beragama, termasuklah kononnya kebanyakan penganut agama Hindu dipaksa untuk menukar agama jika mahu bekerja dalam jabatan kerajaan dan untuk mendapatkan tajaan biasiswa.

“Sehingga kini beliau tidak pernah menarik balik kenyataan dan tohmahan jahat yang dilakukan beliau sebagaimana yang ditularkan melalui video berdurasi 2 minit 39 saat itu,” ujar Asyraf.

Tambah Asyraf, lebih mendukacitakan, Waytha Moorthy kini cuba mencetuskan ketegangan kaum dan agama menerusi usaha meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

“Terbaru inisiatif dan kesungguhan beliau untuk mengheret negara untuk meratifikasi dan mengesahkan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) hanya menzahirkan kesombongan dan keangkuhan beliau sungguhpun Kerajaan sedar bahawa majoriti rakyat melihatnya sebagai suatu yang mencabar hak keistimewaan Melayu dan Bumiputeta serta kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan yang sememangnya isu yang amat sensitif.

“Justeru Pemuda UMNO mendesak P. Waytha Moorty untuk melepaskan dan meletakkan jawatan selaku Menteri secara terhormat dan bermaruah atas kegagalan menguruskan isu-isu perkauman, keagamaan dan perpaduan dengan bijak.

“Malah imej radikal beliau ketika memimpin Hindraf hanya akan mengundang krisis keyakinan rakyat akan masa depan keharmonian negara berbilang agama dan kaum di negara ini,” katanya lagi. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.