Lepas Video Dikecam, Waytha Moorthy Salahkan BN Sebab Tak Bela Masyarakat India

SHAH ALAM – Selepas dikecam hebat berkaitan penularan video memburukkan Malaysia kepada negara luar, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy tampil mempertahankan diri.

Menerusi satu kenyataan media, Waytha Moorthy berkata video tersebut adalah video lama yang dirakam kira-kira 10 tahun lalu ketika beliau diwawancara stesen TV Belanda, yang dibuat selepas himpunan Hindraf pada Nov 2007 sebagai gesaan agar kerajaan pada ketika itu membela nasib masyarakat India di Malaysia.

“Himpunan bantahan yang aman itu bertukar kecoh selepas polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan menyembur air kimia kepada peserta.

“Beberapa peserta didakwa dengan tuduhan cuba membunuh hanya kerana salah seorang anggota polis berdarah sedangkan ratusan peserta cedera parah.

“Saya sendiri dipenjara dan diseksa. Peguam dari Hindraf ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan pasport antarabangsa saya dibatalkan oleh kerajaan Malaysia ketika saya berada di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Geneva untuk memberi penerangan berhubung nasib masyarakat India,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Video klip berdurasi 2 minit 39 saat yang tersebar di media sosial sejak beberapa hari lalu memaparkan wawancara Waytha Moorthy yang mendakwa kaum India telah didiskriminasi dalam pelbagai perkara bermula daripada hak beragama, termasuklah kononnya kebanyakan penganut agama Hindu dipaksa untuk menukar agama jika mahu bekerja dalam jabatan kerajaan dan untuk mendapatkan tajaan biasiswa.

Dalam wawancara itu juga Waytha Moorthy mengatakan Malaysia melakukan pencabulan hak asasi dan penindasan teruk kepada kaum-kaum dan penganut agama lain, antaranya merobohkan kuil-kuil hindu dan menafikan hak asasi kaum lain di Malaysia. 

Menjelaskan lebih lanjut, Waytha Moorthy berkata kerajaan BN sendiri akhirnya mengakui perkara itu ketika bertemu beliau pada 2013.

“Kerajaan BN berjumpa saya pada 2013, mengakui kesilapan mereka dan berjanji kepada saya dan masyarakat India yang seterusnya menyebabkan saya menyertai persefahaman untuk bekerjasama dengan kerajaan ketika itu bagi menangani isu masyarakat India.

“Kerajaan UMNO dan semua rakyat Malaysia tahu apa yang saya buat selama lima tahun diasingkan di UK namun mereka melantik saya menjadi timbalan menteri pada 2013 kerana mereka tahu mereka membuat kesilapan apabila tidak menangani masalah yang dihadapi masyarakat India,” katanya lagi.

Terdahulu, beberapa pihak menyuarakan gesaan agar Pengerusi Hindraf itu melepaskan jawatan beliau selaku Menteri Perpaduan ekoran sikapnya yang didakwa cenderung untuk membangkitkan isu-isu yang mampu mencetus gelodak kemarahan rakyat dan membangkitkan api permusuhan di antara kaum.

Ia susulan kenyataan Waytha Moorthy sebelum ini berhubung cadangan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.