Jaga Disiplin Atau Ditendang Keluar PKR, Anwar Beri Amaran Pada Ahli Parti

SHAH ALAM – Presiden PKR yang baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada ahli parti itu untuk menjaga disiplin ataupun bersedia ditendang keluar jika gagal mematuhi peraturan dan disiplin parti.

Memulakan ucapan beliau, Anwar menzahirkan ketegasannya kerana sedih dan kecewa dengan tindakan segelintir ahli yang mencetuskan kekacauan ketika waktu pemilihan parti berlangsung baru-baru ini.

Beliau menyebut antara isu disiplin yang menjadi keutamaannya ialah penyebaran pelbagai cerita negatif, tuduhan tidak berasas dan cercaan dilemparkan terhadap pemimpin yang bertanding dalam pemilihan parti tempoh hari.

“Saya nak mulakan pidato presiden dengan memberi gambaran jelas.

“Accept the party’s discipline or we kick you out from the party (terima disiplin parti atau kita tendang anda daripada parti),” tegasnya di hadapan kira-kira 1,000 perwakilan di kongres itu, hari ini.

Ia adalah ucapan sulung beliau selepas disahkan menjadi Presiden PKR pada pemilihan parti kali ini selepas isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, tidak mempertahankan jawatan nombor satu parti itu.

Pemilihan PKR baru-baru ini yang berlangsung sejak September lalu menyaksikan pelbagai insiden kekacauan berlaku antaranya politik wang, sabotaj dan pergaduhan.

Pemilihan itu juga hangat apabila berlaku pertembungan antara kem Datuk Seri Azmin Ali dengan Rafizi Ramli, dua calon yang bersaing dalam perebutan jawatan Timbalam Presiden PKR.

“Tapi boleh anda nafikan sumbangan Azmin dan Rafizi kepada parti? Tidak perlu pun mencerca. Saudara ikut disiplin atau ditendang keluar dari parti,” katanya lagi. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.