BSH Untuk Rakyat Tiada, Kerajaan Gagal Pertahan Harga Sawit Pula

KUALA LUMPUR – Sudahlah bantuan sara hidup untuk rakyat bakal dikurangkan atau dimansuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan, kerajaan didakwa pula gagal untuk pertahankan harga sawit dari terus jatuh setiap bulan, demikian dakwaan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Memetik laporan Sinar Harian, katanya, harga minya sawit bagi Disember hanya RM1,775 satu tan dan jumlah tersebut hampir 50 peratus lebih rendah pada akhir 2016.

“Pada Oktober 2016 dalam Bajet 2017, kerajaan BN terpaksa mengehadkan subsidi minyak masak kepada pek satu kilogram berharga RM2.50 sahaja kerana harga minyak sawit naik dan sekitar RM3,000 satu tan.

“Langkah itu juga diambil bagi membanteras penyeludupan minyak masak bersubsidi ke negara jiran yang merugikan negara. Oleh itu, harga minyak masak pada masa itu naik kerana mengikut harga pasaran. Dengan penjimatan ini, kerajaan BN masa itu dapat meningkatkan pelbagai bantuan kepada rakyat termasuk BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia),” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Justeru itu kata Mohamad, sekiranya BSH mahu dihapuskan, seharusnya kerajaan perlu memastikan rakyat mendapat pelbagai manfaat daripada kejatuhan harga minyak sekarang.

“Adakah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sudah mula berbincang dengan pengusaha dan kilang minyak masak dalam memastikan mereka akan menurunkan harga jualan minyak masak mereka?

“Jika bantuan kepada rakyat telah dipotong dan dimansuhkan oleh kerajaan PH, sekurang-kurangnya rakyat boleh mendapat sedikit manfaat dari kejatuhan harga minyak masak,” katanya.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam menyatakan harga buah tandan segar (BTS) kelapa sawit dicatatkan terus menunjukkan penurunan dan dijangka harga itu akan terus jatuh minggu ini.

Beliau berkata, harga sawit jatuh merundum dengan teruk berbanding tempoh sama pada tahun lalu. – Suara.TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.