Anwar Mahu Pakatan Harapan Tangguh ICERD

SHAH ALAM – Baharu sahaja diumum menjadi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan pentas Kongres Nasional Keadilan Ke-13 untuk menggesa kerajaan Pakatan Harapan menangguhkan pengiktirafan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Jelasnya isu yang mengundang ketegangan kaum tidak sepatutnya dilakukan secara tergesa-gesa.

Sebaliknya kerajaan yang baharu sahaja memegang tampuk pemerintahan itu menurut Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu mahu kerajaan menumpukan cara untuk mengukuhkan sokongan rakyat yang masih rapuh.

“Saya tidak fikir kita harus terburu-buru dalam soal yang boleh menimbulkan ketegangan kaum bagi kerajaan baharu ini.

“Tanggungjawab kita memastikan Pakatan Harapan dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kuat, diberi sokongan padu oleh rakyat.

“ICERD yang tidak mendesak bagi saya boleh ditangguhkan. Tak payah berebut,” katanya.

Selain isu yang dekat di hati rakyat Pakatan Harapan tambahnya lagi seharusnya menyelesaikan isu harga getah dan barang.

“Jangan leka dan rasa selesa, kita menang pilihan raya tapi belum menangi hati rakyat, kita menang pilihan raya tapi belum perjuangkan nasib rakyat dan selagi ini belum selesai kerja kita belum selesai.

“Ekonomi masih belum kita selesaikan harga getah, harga barang uruskan dulu kalau (isu) kaum yang timbulkan ketegangan tangguhlah dulu,” ujarnya lagi. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.