Sultan Kedah Dimasyhur Sebagai Canselor UUM

SINTOK – Universiti Utara Malaysia (UUM) melangsungkan pemasyhuran Canselor yang baharu, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, pada Majlis Konvokesyen ke-30, hari ini.

Watikah pemasyhuran baginda dipersembahkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, di Dewan Mu’adzam Shah, di sini, pada sesi pertama istiadat konvokesyen, pagi tadi.

Pemasyhuran dan pelantikan Sultan Kedah sebagai Canselor itu bagi menggantikan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, yang mangkat pada 11 September lalu.

Naib Canselor UUM, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata bagi mengenang segala jasa dan sumbangan Almarhum Sultan Abdul Halim, UUM mewujudkan Kursi Profesor Sultan Abdul Halim.

“Kursi yang diletakkan di bawah Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) didedikasikan untuk membangunkan penyelidikan dan memacu penerokaan ilmu dalam bidang tadbir urus.

“Semoga pewujudan kursi ini dan segala sumbangan Almarhum kekal terpahat di persada ilmu di UUM.

“Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Shafinaz Tuanku Abdul Halim Mu’adzam juga mengambil inisiatif menghulurkan sumbangan peribadi sebanyak RM2 juta sebagai dana permulaan,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Pada majlis berkenaan juga, Tunku Puteri Intan Safinaz diperkenan dilantik sebagai Pro-Canselor UUM bagi tempoh tiga tahun.

Sementara itu, seramai 5,935 graduan universiti itu menerima ijazah mereka pada lapan sesi, yang berlangsung selama lima hari, bermula hari ini sehingga Rabu.

Mereka terdiri daripada 4,439 graduan sarjana muda dan 1,496 graduan pascasiswazah. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.