Perancangan Farid Kamil

SEPERTI ada sedikit ketegangan yang berlaku antara kelompok pelakon lama dengan pendatang baharu industri lakonan sejak kebelakangan ini.

Sedar atau tidak, kebanyakan pelakon lama sering memandang rendah terhadap kewibawaan pelakon baharu, khususnya mereka yang dikenali bukan kerana kehebatan bakat lakonan masing-masing.
Ada yang melabelkan mereka sebagai pelakon ‘kayu’, dan ada juga secara terang-terangan mengeluarkan kata-kata sindiran di alam maya, sehingga terwujudnya satu kefahaman bahawa pelakon baharu tidak sebagus atau sehebat mana.

Bagaimanapun, tidak semua pelakon senior berpendapat sebegitu. Bagi Farid Kamil, kehadiran pelakon baharu dalam industri lakonan bukanlah satu bebanan buat pelaku seni sedia ada.

Menurutnya, sebagai orang lama, pelakon-pelakon baharu perlulah diberi peluang sama rata agar mereka juga dapat tumbuh menjadi pelaku seni yang mempunyai kredibiliti.

“Saya dibesarkan dalam bidang lakonan oleh kelompok pelakon senior yang sangat bertolak ansur. Banyak ilmu tentang dunia lakonan yang saya pelajari daripada mereka.

“Jadi, seperti mana saya diajar dahulu, begitulah yang diamalkan sekarang. Apa yang mereka perlukan kini adalah peluang,” kata Farid atau nama penuhnya, Farid Kamil Zahari.

Namun tegasnya, sebagai pelakon baharu, mereka tidak boleh mempersiakan peluang yang diberikan tanpa memperbaiki diri untuk tampil lebih baik.

“Selepas mendapat peluang, mereka perlu mengambil inisiatif untuk terus belajar. Bergurulah dengan individu-individu yang berpengalaman seperti Fauziah Ahmad Daud, Ellie Suriati dan Fatimah Abu Bakar.

“Jika inisiatif ini diamalkan oleh semua pelakon baharu, saya yakin ia akan memberi impak berbeza terhadap pemahaman mereka tentang seni lakon secara keseluruhan,” katanya lagi.

Tidak hanya tertumpu kepada inisiatif pelakon semata-mata, Farid berpendapat, pihak produksi juga perlu mengeluarkan belanja bagi menyediakan setiap pelakon sebelum bermulanya sesi penggambaran.

“Produser boleh memilih sesiapa sahaja yang diinginkan untuk membintangi sesebuah karya.

“Namun, pelakon-pelakon ini perlulah menjalani latihan lakonan intensif agar produk yang ingin diketengahkan tidak kelihatan teruk,” cadang Farid lagi.

Filem

Melihat portfolio seni Farid sebagai seorang pemain filem, tidak dinafikan lelaki berusia 36 tahun itu begitu serius dalam bidang lakonan. Pelbagai watak dan bermacam jenis genre filem telah dijayakan olehnya.

Bermula sebagai watak sampingan bernama Saiful menerusi filem Cinta Kolestrol pada 2003, namanya terus memuncak apabila digandingkan bersama Lisa Surihani dalam filem I’m Not Single (2008).

Boleh dikatakan, banyak yang telah dilalui oleh Farid sepanjang 14 tahun berkarier. Salah satu daripadanya adalah kesuraman industri perfileman tempatan sejak kebelakangan ini.

Mengakui terkejut dengan laporan berita yang memaparkan betapa sedikitnya jumlah kutipan bagi kebanyakan filem sepanjang tahun ini, Farid menjelaskan, situasi tersebut boleh berubah jika penerbit filem itu sendiri terdiri daripada mereka yang benar-benar layak.

“Kebanyakan penerbit pada masa kini tidak mempunyai ilmu asas dalam bidang penerbitan. Kebanyakan daripada mereka hanya mempunyai modal dan mengeluarkan bajet hanya sekadar mahu merasai pengalaman membikin filem.

“Apabila tidak mempunyai asas yang kukuh, jadi, filem yang cuba diterbitkan juga tidak mampu terjual dan seterusnya mencatatkan kutipan yang sangat menyedihkan,” katanya.

Dalam pada itu, Farid mengharapkan agar pihak kerajaan mengkaji semula syarat-syarat kelulusan bagi pemberian dana kreatif untuk menerbitkan filem.

“Garis panduan baharu perlu diwujudkan dan kajian tentang jumlah kutipan filem yang sedikit juga harus dijalankan.

“Ia bukan sahaja membantu membaik pulih prestasi filem tempatan tetapi dapat menjadikan industri perfileman sebagai antara penjana pendapatan tertinggi negara,” katanya lagi.

Bercakap mengenai usahanya untuk mengubah industri perfileman negara, Farid merancang untuk mencari 10 individu muda berbakat yang mahu melebarkan sayap dalam bidang perfileman.

“Buat masa ini, saya sedang meneliti graduan-graduan filem daripada Universiti Teknologi Shah Alam (UiTM) untuk diserap masuk ke dalam syarikat produksi saya iaitu FK Acts Film.

“Saya mahu kumpulkan tenaga kreatif terbaik yang bukan sahaja berupaya untuk berlakon tetapi mampu untuk melakukan kerja-kerja seni, mengikut acuan yang saya tetapkan,” katanya yang memilih secara rambang menerusi tontonan filem-filem pendek yang dihasilkan oleh para pelajar universiti tersebut.

Doktor

Beralih bicara mengenai projek terbaharunya, kelibat Farid bakal kembali mewarnai layar lebar menerusi filem terbaharunya, Pinjamkan Hatiku.

Memegang watak sebagai seorang doktor pakar bedah bernama Hasnan, Farid menyifatkan watak tersebut begitu dekat dengan dirinya.

“Saya agak teruja untuk menjayakan watak tersebut kerana ada beberapa ahli keluarga yang menjawat jawatan sebagai doktor.

“Jadi, saya tidak perlu susah untuk membuat kajian. Jika tidak faham dengan sesuatu perkara, saya akan bertanya kepada mereka,” katanya.

Biarpun teruja dengan watak yang digalas, Farid tetap tidak terlepas berhadapan dengan beberapa cabaran sepanjang melunaskan proses penggambaran.

“Ada satu babak yang memerlukan saya berdiri dalam bilik pembedahan selama lebih 12 jam iaitu dari pukul 8 pagi sehingga 9 malam.

“Walaupun babak tersebut tidak terlalu lama tetapi proses rakaman menjadi sangat panjang disebabkan ketelitian pengarah Osman Ali dalam mengarahkan filemnya,” ujar Farid.

Pinjamkan Hatiku mengisahkan tentang seorang penulis novel bernama Laila Safitri (Ayda Jebat) yang pulang ke kampung halaman untuk menyiapkan karya terbaharunya.

Ketika berada di sana, bibit cinta mula terbit apabila Laila jatuh hati dengan rakan sekolahnya yang bernama Naufal (Shaheizy Sam).

Bagaimanapun konflik mula timbul apabila munculnya seorang lelaki bernama Doktor Hasnan (Farid Kamil) yang turut menyimpan rasa terhadap Laila Safitri.

Filem yang diterbitkan oleh AuraWhite dengan kerjasama Nuansa itu bakal ditayangkan pada 30 November ini.-Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.