PERODUA Nafi Dakwaan Stereng Axia Terkunci

KUALA LUMPUR – Perodua Sales Sdn Bhd menafikan dakwaan berlakunya masalah stereng terkunci pada Perodua Axia, seperti yang tersebar dalam media sosial, baru-baru ini.

 

Pengarah Urusannya, Datuk Dr Zahari Husin, berkata dakwaan itu tidak berasas dan pihaknya bersama beberapa agensi berkaitan sudah membuat siasatan menyeluruh.

 

Beliau berkata, pihaknya kesal dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab menyebarkan dakwaan palsu yang menjejaskan jenama Perodua.

 

“Kami sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mencari mereka yang terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

 

Beliau berkata, Perodua juga mempertimbangkan untuk mengambil tindakan bersesuaian terhadap pihak yang bertanggungjawab.

 

Zahari berkata, pihaknya memberi jaminan kepada pelanggan bahawa semua kenderaan yang dijual melalui prosedur keselamatan ketat, yang ditetapkan Bahagian Kawalan Kualiti syarikat, termasuk agensi berkaitan seperti SIRIM dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

 

“Perodua sentiasa memastikan ciri kualiti dan keselamatan diterapkan di setiap produk serta perkhidmatan kami. Nilai ini menjadi prinsip asas kami dalam memberikan yang terbaik demi kesejahteraan pelanggan dan juga kakitangan kami.

 

“Kami sentiasa mengalu-alukan maklum balas daripada pelanggan dan mempunyai pasukan khas untuk menyelesaikan apa-apa isu berkaitan produk mahupun perkhidmatan kami, jika ada,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.