Perdana Menteri China Akan Lakukan Lawatan Dua Hari Ke Malaysia

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri China Li Keqiang akan melakukan lawatan kerja dua hari ke Malaysia bermula Ahad ini, sebagai sebahagian daripada jadual beliau bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-27 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.

 

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan di sini hari ini, berkata lawatan itu merupakan yang julung kali ke Malaysia sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Republik Rakyat China pada 2013.

 

Pada lawatan itu, Li akan diiringi isterinya, Cheng Hong, beberapa menteri dan pegawai kanan lain.

 

Menurut kenyataan itu, program lawatan Li akan termasuk Upacara Sambutan Rasmi, Mesyuarat Khas dan Mesyuarat Delegasi bersama-sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Kedua-dua pemimpin dijadual menyaksikan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman/Perjanjian antara kerajaan dengan kerajaan.

 

Kedua-dua perdana menteri juga akan meneliti kemajuan dicapai ‘Perkongsian Komprehensif Menyeluruh” Malaysia-China dan membincangkan usaha meningkatkan lagi kerjasama dalam banyak sektor demi faedah kedua-dua negara.

 

Selain itu, Najib dan Li juga dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai isu kepentingan bersama di peringkat rantau ini dan global.

 

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor juga akan menghoskan majlis makan malam rasmi bagi meraikan Li.

 

China kekal menjadi rakan perdagangan terbesar Malaysia bagi tujuh tahun berturut-turut dan nilai perdagangan dua hala mencecah USD100 bilion (RM436.88 bilion) bagi dua tahun berturut-turut.

 

Pada 2014, jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencecah USD102 bilion (RM445.62 bilion).-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.